Home Nasional Bukan boikot tapi ekonomi suram, pengguna kurang berbelanja

Bukan boikot tapi ekonomi suram, pengguna kurang berbelanja

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas tidak pernah mengadakan kempen boikot produk bukan bumiputera dan tuduhan Lim Guan Eng yang mendakwa kedua-dua parti itu terlibat dalam kempen berkenaan adalah jahat dan sangat tidak bertanggungjawab.

Bahkan, kenyataan itu jelas menunjukkan sikap prejudis dan pemikiran jahat Setiausaha Agung DAP itu terhadap orang Melayu.

Ia juga jelas memperlihatkan sikap rasis sempit Guan Eng yang sentiasa mempunyai sentimen dan persepsi negatif terhadap orang Melayu Islam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan seumpama itu hanya akan menimbulkan sakit hati dan perpecahan antara kaum di negara ini.

“Seingat saya tidak ada kempen oleh UMNO dan Pas untuk boikot produk non bumi atau non muslim. Kalau ada kempen dari NGO untuk beli produk halal dari peniaga Muslim, itu adalah di atas dasar kesedaran orang-orang Islam tentang kewajipan mereka untuk mendapatkan produk yang benar-benar halal dan kesucian tanpa was-was,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Malah, beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu tidak menolak tindakan Guan Eng mengaitkan UMNO dan Pas untuk menimbulkan kebencian kaum bukan bumiputera terhadap parti-parti itu.

Sedangkan kesuraman perniagaan dirasai oleh semua peniaga sama ada peniaga bumiputera atau bukan bumiputera.

Dan, ianya berpunca dari kelembapan ekonomi akibat daripada kegagalan kerajaan Pakatan Harapan dalam menyediakan dasar bagi meningkatkan ekonomi negara.

Rakyat luar bandar kurang berbelanja kerana kejatuhan harga komoditi. Begitu juga rakyat di bandar kerana kos sara hidup yang meningkat.

Jadi, katanya. kesuraman perniagaan disebabkan oleh kelemahan dasar ekonomi kerajaan dan kelemahan Kementerian Kewangan.

Kenyataan Guan Eng dengan menuduh UMNO dan Pas tidak lebih dari cubaan mengalih perhatian rakyat untuk menutup kelemahan beliau sebagai menteri kewangan yang gagal.

“Statement (kenyataan) tentang pengguna sepatutnya datang daripada menteri atau KPDNHEP bukannya dari Kementerian Kewangan. Tapi nampaknya Guan Eng membuat kenyataan yang dilihat rasis dan jahat bukannya tentang hak mutlak pengguna untuk membuat pilihan.

“Guan Eng sepatutnya menghormati keputusan pengguna di dalam membuat pilihan. Sepatutnya Guan Eng selaku menteri Kabinet gembira kerana pengguna hari ini sudah tau menggunakan hak mereka sebagai pengguna.

“Sejak dari dulu kempen kesedaran pengguna dilaksanakan oleh KPDNKK dan kini KPDNHEP nampaknya kempen tersebut dilihat sedang berhasil. Guan Eng sepatutnya menghormati keputusan pengguna di dalam membuat pilihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri tidak menolak kesedaran orang Muslim berkaitan produk-produk halal ini setelah terlalu banyak produk bukan Muslim yang menggunakan nama-nama Islam dan Melayu demi mengaburi mata pengguna tetapi tidak menititik-beratkan soal kebersihan dan status halalnya.

Kesedaran ini timbul selepas pengusaha-pengusaha bukan bumiputera menganiaya dan mengkhianati pengguna dengan mengetepikan soal halal dan kesucian demi keuntungan semata-mata. – MalaysiaGazette