JAKARTA – Syarikat pemasaran dan pembangunan Super Dron dengan teknologi Kepintaran Buatan (AI), EastCap Berhad melebarkan sayapnya ke Indonesia dan kali ini lebih tertumpu kepada sektor latihan penerbangan udara.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata, ia adalah sekolah penerbangan pertama bagi yang dikenali sebagai ‘Coop Air Pilot Academy’ akan beroperasi di Jakarta, Indonesia.
Ia adalah hasil kerjasama pihaknya dengan Rumah Koperasi Indonesia (RKI) pada 29 Ogos 2019.
“Akademi ini akan memberikan latihan lengkap bagi tujuan menyediakan juruterbang terlatih di dalam bidang penerbangan awam.
“Di samping itu, akademi ini bagi melahirkan graduan-graduan bagi memenuhi permintaan di dalam industri penerbangan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sebelum ini, EastCap Berhad telah menjalinkan usahasama dengan syarikat dari China iaitu, EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited bagi memperkenalkan Super Dron dengan teknologi AI sebagai revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.
Zakwanhafiz berkata, bagi pengambilan pertama, pelatih-pelatih yang akan menyertai akademi penerbangan ini terdiri daripada anak-anak ahli RKI dan anak-anak ahli “Asean Cooperative Association” atau ACO.
“Ianya merupakan lembaran baharu terhadap masa depan yang cemerlang bagi kesemua ahli koperasi seluruh Asia selaras dengan perkembangan industri penerbangan dunia,” katanya.
Jelasnya lagi, selain akademi penerbangan awam, EastCap dengan kerjasama RKI turut bercadang untuk menubuhkan satu lagi sekolah penerbangan iaitu ‘Super Drone Pilot Academy’.
“Akademi Penerbangan Super Dron ini akan mewujudkan bidang baharu dalam sektor pekerjaan yang bakal menjadi permintaan tinggi di peringkat seluruh dunia.
“Tenaga mahir perlu dilahirkan bagi mengendalikan Super Dron yang dijangka menjadi pengangkutan utama di seluruh dunia bagi kegunaan sebagai pengangkutan awam, pengangkutan logistik, pengangkutan kecemasan, serta pelbagai kegunaan lain,” katanya.
Tambahnya, penubuhan kedua-dua akademi penerbangan ini merupakan keperluan semasa bagi memenuhi permintaan sumber manusia dalam bidang pengangkutan udara, selaras dengan kemajuan teknologi masa depan.
“Kedua-dua akademi ini akan menjamin masa depan anak-anak ahli koperasi agar tidak ketinggalan di dalam perkembangan teknologi yang kian berkembang.
“Kami mewujudkan “Don’t Just Aspire to make a living, aspire to make difference” agar menjadi yang terbaik di dunia.,” katanya. – MalaysiaGazette