Home Politik Suhaimi Ketua Amanah Seremban yang baharu

Suhaimi Ketua Amanah Seremban yang baharu

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim bercakap semasa temubual khas di Madrasah Al-Barakah, Gedong Lalang, Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OKTOBER 2018
Suhaimi Kassim

KUALA LUMPUR – Gandingan mantap dilihat bakal menjadikan Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Seremban semakin utuh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim meraih kemenangan selesa dalam pemilihan parti itu, semalam.

Kemenangan Suhaimi yang sebelum ini memegang jawatan Naib Ketua Amanah sudah dijangka apabila meraih 27 undi daripada 44 perwakilan yang hadir mengundi.

Lebih mengejutkan Suhaimi berjaya menumpaskan penyandang yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Zulkifli Omar yang hanya meraih 14 undi.

Usaha berterusan Suhaimi dalam menjayakan matlamat kepentingan rakyat di DUN Lenggeng jelas menjadikan asas kepada perwakilan memilih beliau sebagai Ketua Amanah baharu bagi kawasan Seremban.

“Saya ucapkan terima kasih kepada perwakilan yang memilih saya pada penggal ini. Saya akan berusaha beri yang terbaik untuk rakyat dan parti ke tahap lebih cemerlang.

“Insya-Allah saya akan memikul tugas ini sebaik mungkin dan tidak sesekali mengkhianati perjuangan parti demi kelangsungan menjadikan Malaysia Bersih dan bebas daripada anasir tidak molek.

“Sempena bulan Merdeka ini juga, saya berharap kita boleh bebas dari sengketa serta pengaruh tidak sihat di kalangan masyarakat,” katanya selepas pemilihan itu di sini, semalam.

Suhaimi (duduk, dua dari) bersama barisan kepimpinan baharu Amanah kawasan Seremban.

Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua disandang MK Ibrahim Abdul Rahman yang mendapat 30 undi.

Manakala Naib Ketua 1, Zainal Ismail meraih 41 undi dan Naib Ketua 2, Zainal Husin mendapat 28 undi.

Di samping itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) yang baru dipilih ialah Abdul Razak Shariff, Mohd Asri Jamil dan Raheman Mohd Dom. – MalaysiaGazette