KUALA LUMPUR – Pas meminta Menteri Kewangan berhenti memainkan sentimen perkauman sempit dan menghormati pilihan bebas pengguna Muslim.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kempen utamakan produk Muslim adalah kesedaran awal para pengguna Muslim untuk memilih produk yang halal, baik dan diusahakan oleh orang Islam.
“Setakat hari ini, tidak ada satu kempen boikot produk bukan Islam yang dilancarkan oleh Pas,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu Pas dan UMNO mengambil pendirian mengutuk kempen memboikot produk bukan bumiputera.
Kata Menteri Kewangan itu, kempen memboikot produk bukan bumiputera perlu dihentikan kerana bukan sahaja boleh menjejaskan perpaduan nasional malah turut merugikan pengguna.
Menurut Tuan Ibrahim, setiap pengguna mempunyai kecenderungan untuk memilih yang terbaik untuk diri mereka.
“Tidak ada satu paksaan,” tambah beliau
Lantaran itu, Tuan Ibrahim berkata, para pengguna Islam kini lebih berhati-hati dan bersifat selektif untuk mendapatkan produk yang terbaik.
Sementara itu, Pas menggesa kerajaan untuk memantau dan menyekat lambakan produk yang mengelirukan pengguna seperti menggunakan nama, gambar produk dan logo mirip Islam tetapi dihasilkan oleh bukan Islam, penipuan logo halal serta pengeksploitasian wanita dan kanak-kanak dalam pengiklanan.
Kata tuan Ibrahim, kerajaan hendaklah lebih fokus kepada aktiviti tidak bermoral dalam perniagaan seperti penipuan, monopoli, permainan harga dan ‘black economy’.
“Hal ini lebih serius dan boleh meranapkan pasaran sehingga memberi kesan besar ke atas pengguna,” ujarnya sambil menambah, secara umum harga barang tidak menunjukkan penurunan walaupun setelah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan. – MalaysiaGazette