KUALA LUMPUR – Tiga warga China termasuk dua yang menyerang pegawai imigresen bertugas di KLIA 2, pada Sabtu lalu telah dihantar pulang dan disenarai hitam daripada memasuki negara pada hari yang sama.
Dalam kejadian pada kira-kira 12.30 tengah malam itu, dua lelaki dan seorang wanita China masing-masing berusia 28, 30 dan 33 tahun yang baru tiba telah diarah ke ruangan menunggu kerana tujuan kemasukan mereka meragukan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud ketika dihubungi berkata selain itu mereka juga tidak memenuhi syarat mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63.
Ketika berada di ruangan itu, dua lelaki berkenaan enggan mengikut arahan pegawai dan bertindak agresif dengan menumbuk dua pegawai masing-masing berusia 23 dan 25 tahun selepas diarahkan ke ruangan menunggu lelaki.
“Pergelutan itu kemudiannya dihentikan oleh beberapa pegawai imigresen lain yang berada di tempat itu,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata kedua-dua pegawai imigresen yang diserang mengalami lebam dan luka-luka kecil.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai terlibat bagi menjaga kepentingan jabatan,” katanya lagi.
— BERNAMA