HONG KONG – Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam menafikan pernah menawarkan untuk meletak jawatan, selepas satu audio milik suaranya bocor semalam.
Kenyataan itu direkodkan semasa Lam menghadiri mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin perniagaan minggu lalu.
Dalam audio itu, Lam didakwa berkata, jika boleh beliau mahu melepaskan jawatan.
Rakaman yang didakwa suara Lam itu kedengaran berkata: “Jika saya mempunyai pilihan, perkara pertama adalah berhenti.”
Lam turut menyalahkan dirinya kerana menimbulkan krisis politik di wilayah itu, dengan mengatakan ia tidak dapat dimaafkan olehnya yang menyebabkan kekacauan besar itu.
Namun, pada hari ini, beliau menegaskan “tidak pernah mengemukakan sebarang peletakan jawatan”, tetapi tidak menafikan kesahihan rakaman itu.
Isu pemberhentian Lam tercetus selepas Hong Kong berdepan dengan protes anti-kerajaan.
Protes itu berlaku selepas Hong Kong bercadang untuk membenarkan ekstradisi pesalah-pesalah ke China, sejak itu bantahan meningkat untuk siasatan bebas terhadap kekejaman polis dan tuntutan untuk demokrasi yang lebih besar.
Lam adalah individu yang memperkenalkan rang undang-undang kontroversi itu tetapi kini ditangguhkan. – MalaysiaGazette