Home Nasional Kekal penggunaan tulisan jawi di Johor patut dicontohi – Pas

Kekal penggunaan tulisan jawi di Johor patut dicontohi – Pas

Abdullah Husin

KUALA LUMPUR – Langkah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang mengekalkan penggunaan tulisan jawi dalam setiap urusan surat menyurat merupakan satu tindakan terpuji yang patut dicontohi.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Negeri Johor, Abdullah Husin berkata, Pas Johor menyokong mana-mana pihak yang membuat tindakan dan keputusan yang memberi kebaikan untuk agama, negeri dan negara serta meningkatkan keharmonian rakyat keseluruhannya.

“Pas Johor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor kerana telah memutuskan supaya Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menggunakan tulisan Jawi dalam segala urusan surat menyurat mereka bermula tahun hadapan.

“Pas Johor berpendapat bahawa ini adalah suatu tindakan terpuji dan keputusan yang tepat bagi memperkasakan semula penggunaan dan penguasaan tulisan jawi di kalangan rakyat khususnya umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdullah berkata, negeri Johor sudah dikenali sebagai antara negeri yang mempunyai sistem persekolahan agama yang terbaik dan sepatutnya tidak timbul sebarang isu dan halangan bagi melaksanakan penggunaan tulisan jawi dengan lebih meluas.

Dalam pada itu katanya, Pas Johor mencadangkan agar kerajaan negeri atau JAINJ dan MAINJ membuat persediaan menyediakan sistem sokongan kepada kakitangan mereka dengan memberikan latihan serta menyediakan unit atau kaunter bantuan kepada masyarakat yang akan berurusan dengan kedua-dua badan itu dalam tulisan jawi.

Ujarnya, suatu jangka masa percubaan, penilaian dan transisi boleh dipertimbangkan sebelum pelaksanaan sepenuhnya terhadap perkara itu bermula. – MalaysiaGazette

+ posts