PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberi pengiktirafan penafaran bintang kepada kesatuan-kesatuan sekerja yang menunjukkan tahap tadbir urus terbaik dan meningkatkan kualiti perkhidmatan modal insan mereka di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, ia adalah satu satu usaha kerajaan meningkatkan tahap profesionalisme tenaga kerja supaya sentiasa menepati kualiti, produktif dan memenuhi permintaan pasaran kerja yang sentiasa mengalami revolusi teknologi.
“Matlamat utama star rating ini adalah untuk menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan kesatuan sekerja terutamanya di dalam amalan pengurusan organisasi dan penyampaian perkhidmatan.
“Pengiktirafan ini diharap menjadi inspirasi dan contoh kepada kesatuan-kesatuan sekerja yang lain untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik,” katanya dalam teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh wakilnya Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Amir Omar pagi tadi.
Amir mewakili Kulasegaran merasmikan seminar sehari bertajuk Labour Enrichment and Professionalism di sini.
Dalam perkembangan berkata, tambah Kula Segaran, pembangunan modal insan merupakan satu pembangunan sumber manusia yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Dalam masa sama, beliau turut mengakui kejayaan sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung kepada kekuatan struktur dan sistem teknologi malah ia juga perlu dilengkapi modal insan yang mempunyai kemahiran serta kepakafran yang relevan dengan keperluan semasa.
“Oleh itu tidak dapat dinafikan bahawa latihan merupakan salah satu elemen penting dalam memastikan peningkatan prestasi pekerja.
“Melalui latihan pekerja dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang akan memberi impak kepada prestasu kerja semasa dan masa hadapan disamping kebolehan pekerja melaksanakan tugas juga daoat dipertingkatkan sejajar mencapai objektif organisasi,” ujarnya lagi.
Menurutnya selain itu, Nasional Occupational Skills Standard atau singkatannya NOSS telah diperkenalkan dan dibangunkan menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran bertujuan melahirkan modal insan yang cekap dan kompeten dalam bidang masing masing.
Justeru katanya, sebagai usaha meningkatkan profesionalisme kesatuan sekerja di neara ini, kementeriannya juga akan menerbitkan Buku Code of Practice for Trade Unions Effectiveness atau singkatan CoPTUE.
“Bagi tujuan itu sebanyak tiga sesi libat urus bersama kesatuan sekerja telah dijalankan di Putrajaya, Sabah dan Sarawak bagi tujuan penyediaan buku itu yang turut melibatkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan CUEPACS.
“Matlamatnya adalah jelas iaitu untuk mengenalpasti contoh contoh amalan terbaik di dalam pengurusan dan pertadbiran sesebuah kesatuan sekerja untuk dijadikan contoh kepada kesatuan lain.
“Menjadi harapan kerajaan supaya CoPTUE menjadi satu mekanisme membantu meningkatkan kefahaman dalam pengurusan dan pentadbiran kesatua sekerja secara efektif dan membantu melahirkan pegawai berpengetahuan dan profesional, kredibiliti dan berintegriti,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette