Home Utama Kita bukan kawal Zakir Naik 100 peratus – Muhyiddin

Kita bukan kawal Zakir Naik 100 peratus – Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim (dua kanan) mentempurnakan gimik pelancaran Sistem Info Q pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Kompleks D, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 03 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan menghalang sepenuhnya pergerakan penceramah kontroversi, Dr. Zakir Naik selagi tidak melibatkan sebarang bentuk ceramah dan pengucapan awam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak akan menghalang penceramah bebas itu mengikuti majlis-majlis agama dan sembahyang di masjid.

“Kita bukan nak kawal dia 100 peratus supaya tidak lakukan apa-apa. Kalau nak sembahyang, ikut majlis-majlis saya fikir sesiapa pun tak boleh nak sekat dan halang.

“Itu maklumat yang saya dapat sebab beliau (Zakir) dibenarkan hadir di situ,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN anjuran Jabatan Pendaftaran Negara hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang menjemput Zakir ke program Malam Islam Bersatu di Masjid Cina, Krubong, Sabtu lalu.

Mohd. Rafiq selalu Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka menjemput Zakir bagi melakukan solat sunat dan bukan memberi ceramah di masjid berkenaan.

Muhyiddin juga mengesahkan beliau telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berhubung perkara demikian.

“Saya sudah dimaklumkan dan diberitahu dia (Zakir) ada di sana untuk ambil bahagian dalam sembahyang. Dia tidak akan berceramah kepada jemaah di sana.

“Ketua Polis Melaka memaklumkan atas asas itu, dia benarkan Zakir untuk ambil bahagian dalam program itu, tapi seperti biasa, tiada ucapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette