Home Nasional Naikkan tambang bas henti susahkan B40

Naikkan tambang bas henti susahkan B40

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama Penulis Buku My Journey By Bus, Lam Ching Fu (kiri) melakukan gimik Pelancaran Buku dan Pameran My Journey By Bus di RexKL, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Tindakan menaikkan kadar tambang bas berhenti-henti menekan golongan B40 yang bakal berhadapan dengan peningkatan kos pengangkutan awam.

Justeru itu kata Anthony Loke Siew Fook, Kementerian Pengangkutan sangat berhati-hati dalam isu itu meskipun maklum wujud desakan daripada pengusaha bas.

“Kalau bas henti-henti kita kaji semula tambang, maka kos pengangkutan awam akan meningkat

“Bas henti-henti adalah medium sangat penting kepada masyarakat terutamanya golongan B40, mereka memerlukan pengangkutan awam untuk ulang alik ke tampat kerja  ke tempat tinggal mereka,” katanya pada sidang media.

Mempertimbangkan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pengusaha bas maka kerajaan tambah beliau memberikan subsidi kepada perkhidmatan itu menerusi Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF).

“Dari segi tambang itu memang kita berhati-hati kita tahu ada banyak desakan dari pihak operator tetapi kerajaan sentiasa prihatin kepada kebajian dan keperluan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, masih banyak kelemahan yang terdapat pada bas berhenti-henti yang boleh diperbaiki, seperti menepati masa ketibaan selain mempertingkatkan keadaan bas dan perkhidmatan.

“Memang dari segi perkhidmatan ada banyak ruang boleh diperbaiki, banyak kelemahan boleh diatasi, dari segi menepati masa, perkhidmatan, keadaan bas dan sebagainya,”ujarnya.

Dalam pada itu Anthony menggalakkan penggunaan bas berhenti-henti untuk menjelajah seluruh negara terutamanya di Semenanjung Malaysia kerana ia menjimatkan.

“Ini saya rasa usaha yang sangat baik beri galakan kepada orang muda yang mungkin tiada kereta, tiada bajet yang besar untuk menjejalajah, boleh gunakan bas dengan harga tambang yang berpatutan mereka boleh pergi ke mana-mana sahaja di seluruh negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette