Home Utama Sasterawan Negara Ke-14 dipilih ikut ‘pintu belakang’?

Sasterawan Negara Ke-14 dipilih ikut ‘pintu belakang’?

Malim Ghozali

KUALA LUMPUR – Tokoh Sasterawan Perak, Dr. Malim Ghozali mendakwa keputusan pemilihan Sasterawan Negara Ke-14 yang diumumkan hari ini sebagai suatu bentuk tindakan ‘pintu belakang’.

Beliau turut memberi gambaran wujud campur tangan dalam hal ehwal penjurian memilih tokoh tersebut.

“Kalau dah nampak nak kalah, ubah tiang gol itu biasa, tapi kalau sudah kalah, diarah main semula dan ditambah dua orang ‘refree’ yang tiada kepakaran, ini luar biasa!

“Kita hendak mencari apa sebenarnya? SN (Sasterawan Negara) atau SNPB (Sasterawan Negara Pintu Belakang).

“Saya tercium bau-bau tikus. Saya akan gali lubang tikus-tikus ini sampai ke dasarnya. Ingat, Allah melihat segala perbuatan jahat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan pengkaji seni budaya, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Malim mendakwa, pemilihan penerima anugerah tersebut telah dibuat oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dengan ‘secara sebulat suara’ kira-kira enam bulan lalu iaitu pada 28 Mac.

Malim turut mendakwa keputusan yang diumumkan hari ini sebagai suatu penganiayaan sastera bentuk baharu.

Beliau yang telah memenangi 36 anugerah dan hadiah di dalam serta luar negara ternyata tidak dapat menerima keputusan tersebut.

“Hanya saya seorang penulis sastera Melayu yang telah memenangi hadiah puisi di peringkat dunia dan novel saya tersenarai antara 160 terbaik dunia oleh IMPAC Dublin International Book Award 2016.

“Adakah ini tidak memberikan sedikit pun kelebihan? Tanda-tanda akan berlaku penyelewengan terhadap keputusan panel hakim sudah kelihatan sejak Mac 2019 dan menjadi kenyataan pada 9 Ogos lalu.

“Apa terjadi selepas itu? Kalau ada orang atasan yang menolak saya, saya nak tahu kenapa? Kita kena faham hak bukan mutlak sifatnya.

“Ia datang dengan tanggungjawab. Waima menteri sekalipun! Ketika apa ratus sastera sudah dipolitik, dimanipulasi dan diselewengkan, saya sudah hilang kepercayaan terhadapnya sama sekali,” dakwanya lagi. – MalaysiaGazette