Home Nasional Video seks gay: Selesai beri keterangan, Lokman ucap tahniah dan syabas kepada...

Video seks gay: Selesai beri keterangan, Lokman ucap tahniah dan syabas kepada polis

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hadir untuk memberi berhubung Laporan Forensik Video oleh Pakar United Kingdom mengenai isu kes video Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam selesai memberi keterangan polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi.

Beliau memberi keterangan selama kira-kira 20 minit, termasuk menyerahkan beberapa dokumen asal berkaitan laporan forensik yang dibuat di United Kingdom (UK) kepada pegawai penyiasat.

Katanya, polis mengambil keterangannya hari ini untuk melengkapkan kertas siasatan bagi dua kes iaitu penyebaran video seks luar tabii melibatkan seorang menteri kanan dan laporan forensik dari UK.

“Berita baik yang saya terima dari pegawai penyiasat, kertas siasatan untuk kedua-dua kes berkenaan sudah dibuat oleh polis dan sudah pun diserahkan kepada Peguam Negara.

“Kita ucapkan tahniah dan syabas kepada polis kerana berjaya menunjukkan mereka bertindak bebas iaitu menyiasat siapa yang melakukan jenayah seks luar tabii dan pada masa sama menyiasat siapa yang menularkan video ini berkenaan.

“Saya rasa apa yang dilakukan oleh polis ini adalah adil. Kita mahu siapa yang tular dan laku seks ini, kedua-dua dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Lokman berkata, pihaknya akan memberikan notis kepada Peguam Negara dan juga laporan forensik dari pakar UK untuk memintanya melakukan pendakwaan kerana lebih tiga bulan kes berkenaan berlaku.

Katanya, pendakwaan tidak semestinya melibatkan masa yang lama, walaupun membabitkan seorang menteri kanan kepercayaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga berharap rakyat Malaysia berpuas hati apabila kedua-dua pihak iaitu yang menyebarkan video seks luar tabii dan pelaku dalam video itu diambil tindakan. – MalaysiaGazette