Home Nasional 1MDB: Tidak ada sesiapa pun berani soal Najib – Saksi

1MDB: Tidak ada sesiapa pun berani soal Najib – Saksi

Bekas Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Secara amnya, pegawai-pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak pernah mempersoalkan punca sesuatu dana yang diterima oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawat jawatan perdana menteri.

Saksi kelapan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ketika membaca keterangannya berkata, rata-rata pegawai tinggi itu enggan menyoal kerana tindakan itu akan dianggap sebagai tidak percaya terhadap kredibiliti Najib pada masa itu.

“Memang tidak ada mana-mana pegawai yang berani bertanyakan kepada Datuk Najib tentang dana-dana yang di terima olehnya.

“Malah saya sendiri pada masa itu percaya memang ada dana yang datang dari Jho Low  kerana  sebelum  PRU13, Jho Low ada memberitahu saya dan Datuk Azlin mengenai dana yang hendak digunakan bagi pilihan raya bagi memenangi undi majoriti di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun Jho Low tidak pernah menerangkan cara bagaimana dia  mendapatkan wang tersebut. Sehingga kini, saya tidak tahu apa-apa berkenaan status wang yang ada di dalam akaun tersebut kerana ia masih dikawal oleh Jho Low,” katanya ketika pemeriksaan utama di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Sebelum itu, saksi yang juga bekas pegawai di Bank Negara Malaysia sebelum mula di pinjamkan untuk bekerja di PMO sekitar 2006 mengesahkan dokumen berkaitan data kemaskini mengenai pinjaman USD6.0 billion yang akan dipohon  melalui  usahama 1MDB dan Aabar dan juga prosedur pembayaran semula hutang tersebut.

Dalam pada itu, Amhari juga mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah merancang pelan rasionalisasi 1MDB pada akhir tahun 2014 atau 2015 bagi menampung semua hutang di hadapi syarikat tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 SEPTEMBER 2019.

“Jho Low bercadang menjual aset-aset dan liabiliti serta menutup hutang 1MDB.

“Sebagai contoh, projek Bandar Malaysia dengan rancangan memindahkan pemilikan Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah syarikat yang dipanggil Sg Besi Development Sdn Bhd, yang akan ditubuhkan untuk membeli Bandar Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, pada masa yang sama Ketua Eksekutif 1MD, Arul Kanda pula mempunyai rancangan berbeza mengenai rasionalisasi dan tidak bersetuju dengan Jho Low.

“Oleh yang demikian, Jho Low telah meminta saya sendiri terlebih dahulu memberitahu Datuk Najib tentang pelan rasionalisasi dan mahu Arul bersetuju dengan pelan-pelannya,” ujar Amhari. –MalaysiaGazette