Home Utama Buka akaun luar negara: Jho Low minta jangan risau, ‘boss will take...

Buka akaun luar negara: Jho Low minta jangan risau, ‘boss will take care’ – saksi

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan akaun bank dibuka di luar negara berkemungkinan besar untuk penggubahan wang haram (money laundering).

Perkara itu dinyatakan saksi kelapan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masuk hari keempat 4 hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membabitkan penyewelengan sebanyak RM2.3 bilion.

Ketika membaca kenyataan bertulis, Amhari yang merupakan pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi perdana menteri berkata, kemungkinan akaun bank itu bagi tujuan menyimpan dana politik untuk Najib bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Jho Low mengarahkan beliau dan Allahyarham Datuk Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu) untuk membuka akaun bank masing-masing di bank luar negara bagi tujuan PRU13.

“Bagaimanapun, saya dan Datuk Azlin berasa takut kemungkinan arahan untuk meminta kami berdua membuka akaun bank oleh kami adalah untuk ‘money laundering’ bagi menyimpan dana politik untuk Datuk Najib.

“Kami diarah untuk membuka akaun ini ‘just in case and standby’. Pada masa tersebut  saya terfikir  sekiranya akaun  ini untuk tujuan  yang murni, mengapa pembukaan akaun bank tersebut perlu melibatkan saya, diuruskan oleh Jho Low serta dibuka di luar negara?

“Walaupun dimaklumkan akaun ini adalah akaun standby sahaja tetapi sekiranya betul akaun ini digunakan untuk tujuan dana politik, ia adalah sesuatu yang saya tidak mahu terlibat,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Dakwa Amhari lagi, Jho Low juga memberikan jaminan agar tidak risau dan yakin dengannya malah dia telah memberitahu kami bahawa ‘boss will take care’.

Jelasnya ‘boss’ yang dimaksudkan itu adalah Najib.

“Dia juga ada menyebut, jika ada apa-apa persoalan timbul mengenai akaun ini, Najib akan melindungi kami. Saya hanya merujuk dan meminta Datuk Azlin berbincang dengan Jho Low dan saya akan  mengikut  keputusan Datuk Azlin.

“Datuk Azlin juga menyatakan perasaan tidak selesa tetapi Jho Low memberitahu lagi bahawa semua ini akan dilakukan ‘above board’, melalui proses dokumentasi yang betul, menggunakan bank yang ternama dan mempunyai reputasi.

“Pada masa itu, Datuk Azlin hanya diam dan Jho Low kata dia akan kembali balik kepada kami mengenai isu ini lalu dia meninggalkan perjumpaan tersebut,” baca Amhari dalam kenyataan bertulis itu.

Jelas saksi yag juga bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dirinya dan Azlin terpaksa membuka akaun bank seperti dikehendaki oleh Jho Low kerana begitu takut apa-apa terjadi kepada mereka dan keluarga jika permintaan itu tidak dipenuhi.

Jho Low. foto SCMP

“Walaupun rasa was was dengan hal pembukaan akaun bank ini namun terpaksa juga dipersetujui kerana ia  melibatkan perkara sulit dan mereka juga takut diri mereka, keluarga dan kerja mereka mendapat ancaman sekiranya mereka menolak cadangan itu.

“Saya membuat keputusan untuk mengikut nasihat Datuk Azlin kerana dia adalah boss saya dan dia juga lebih banyak tahu perkara sebegini daripada saya. Bagaimanapun, pada perjumpaan tersebut kami tidak ada memberikan kata persetujuan kepada Jho Low.

“Di perjumpaan sulit kami yang lain tidak lama selepas itu, Jho Low asyik mendesak dan meyakinkan kami bahawa semuanya diatur secara ‘proper’ dan selamat. Akhirnya Datuk Azlin bersetuju berhubung pembukaan akaun di luar negara,” ujarnya.

Amhari juga mendakwa bersetuju mengikut keputusan Azlin kerana tidak mahu kehilangan kerja mahupun memberi ancaman kepada keluarga kerana sudah mengetahui ada usaha membuka akaun luar negara.

Bercerita lanjut, Jho Low didakwa mengawal dan menyusun segala proses pembukaan akaun bank malah menghantar mereka ke Singapura untuk membuka akaun tersebut. –MalaysiaGazette