Home Sukan FAM nasihat KLFA selesai isu pemilihan

FAM nasihat KLFA selesai isu pemilihan

Hamidin Mohd Amin.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menasihati Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) supaya menyelesaikan isu kongres pemilihan ke-32 badan berkenaan dengan memberi penjelasan kepada ahli berhubung mandat baharu yang sepatutnya diterima tahun lalu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya tidak boleh berat sebelah dengan memihak kepada mana-mana, sebaliknya, bertindak mengikut Statut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kita harus terima hakikat walaupun KLFA berpayung sebagai ahli gabungan di bawah FAM, urus tadbir KLFA tertakluk kepada peraturan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) mengikut Akta Pembangunan Sukan.

“FAM berhak mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli gabungan jika didapati ada kesalahan dari sudut perkauman, agama dan politik, manakala PJS ada hak untuk membatalkan pendaftaran seandainya persatuan atau kelab menyalahi peraturan dalam akta.

“FAM berharap KLFA dapat menjelaskan kedudukan sebenar kepada ahli gabungan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Hamidin menerima kunjungan hormat pucuk pimpinan KLFA di Wisma FAM bagi membincangkan lima isu semasa termasuk kemelut pergolakan dalaman KLFA berhubung kongres pemilihan ke-32 badan berkenaan yang dijangka diselesaikan secara baik.

Turut dibincangkan, beban kewangan dan geran pasukan, prestasi pemain import, kontrak pemain dan prestasi pengadil secara umum dengan FAM.

KLFA sebelum ini dilaporkan berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftaran jika ingkar arahan PJS untuk mengadakan semula proses pencalonan untuk semua jawatan yang dipertandingkan bagi kongres persatuan itu.

PJS dan FAM menerusi surat bertarikh 22 Februari lalu mengarahkan kongres yang tertangguh selama beberapa bulan itu dilaksanakan sebelum atau pada 31 Mei 2019 selepas beberapa perbincangan dan pertemuan bersama dengan meneliti segala hujah berserta fakta bagi menyelesaikan kemelut dalaman kongres KLFA.

Ia membabitkan pertikaian proses pencalonan ahli jawatankuasa dan presiden KLFA yang didapati PJS selaku moderator tidak dijalankan dengan telus. – MalaysiaGazette