KUALA LUMPUR – Gara-gara terkena percikan air minuman kucing, seorang lelaki warga Bangladesh maut ditikam di hadapan sebuah rumah di Petaling Jaya dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Md Atas Ali ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di tempat kejadian.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa telah ditikam oleh seorang suspek lelaki warga Indonesia kerana mangsa tidak sengaja terpercik air minuman 12 ekor kucing peliharaannya yang menyebabkan pergaduhan.
“Mangsa mengalami kecederaan beberapa tikaman di belakang badan yang dipercayai menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Zani berkata lokasi kejadian merupakan sebuah rumah banglo satu tingkat yang dijadikan rumah sewa yang terdapat empat bilik tidur dan disewa oleh beberapa warga negara asing.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui tompokan darah di hadapan bilik dalam rumah itu dipercayai akibat pergaduhan mangsa dengan suspek
“Anggota forensik turut merampas beberapa bahan bukti termasuk puntung rokok, sarung pisau, baju, seluar dan tiga cap jari dan pemeriksaan dalam bilik suspek juga berjaya memperolehi butir-butir suspek dikenali sebagai Hardianto, warga Indonesia,” katanya.
Mohd Zani berkata hasil temu bual dengan jiran juga mendapati rumah tersebut dimiliki seorang wanita tempatan yang telah meninggal dunia dan pewarisnya tidak diketahui serta penghuni yang menyewa di situ membayar duit sewa kepada ibu suspek.
“Suspek dan ibunya dikenali sebagai Asniyah Asrawi telah melarikan diri sejurus selepas kejadian dan usaha memburu suspek dan ibunya giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.- BERNAMA