Home Nasional Tak perlu ugut henti boikot, ekonomi tidak akan merundum kerana kempen #BMBF

Tak perlu ugut henti boikot, ekonomi tidak akan merundum kerana kempen #BMBF

Mohd Nor Hamzah

KUALA LUMPUR – Segelintir pemimpin yang mahu kempen membeli produk keluaran Muslim dihentikan berperangai tidak ubah seperti kanak-kanak.

Malah kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Mohd Nor Hamzah ia juga merupakan satu ugutan kepada rakyat dan kenyataan seumpama itu hanya keluar daripada fikiran individu yang tidak waras.

Dengan pasaran yang luas, ujar beliau, ekonomi tidak akan merundum hanya kerana orang Islam tidak memilih produk keluaran bukan Islam.

“Lebih dua pertiga muslim di Malaysia iaitu kira-kira 20 juta orang, adalah sasaran kepada pasaran, menunjukkan bahawa pasaran ini sangat luas.

“Jadi mengapa harus disempitkan dengan label-label yang tidak sepatutnya seperti kempen ini berunsur perkauman atau sebagainya. Bukan Islam tidak perlu takut melihat persaingan ini, apatah lagi sudah puluhan tahun produk mereka berada di pasaran.

“Sikap kebudak-budakkan sesetengah pimpinan negara yang bukan Islam, seperti mengugut rakyat untuk menghentikan kempen ini, hanya kelihatan seperti orang yang tiada fikiran yang waras.

“Ekonomi akan terus berkembang baik, jika kerajaan menjalankan kerja mereka dengan penuh dedikasi. Ekonomi tidak akan hancur hanya kerana rakyat memilih mahu membeli dari kedai mana dan produk siapa. Oleh itu kegusaran sesetengah pihak dengan kempen ini, sangat tidak berasas,” katanya menerusi kenyataan.

Tiada unsur perkauman, dan boikot, ianya menurut Mohd Nor lagi sekadar membuka mata rakyat khususnya Muslim kepada pilihan produk yang ada di pasaran dan perlu diutamakan.

Meskipun produk keluaran bukan Muslim memiliki sijil halal namun masih ramai yang tidak mempunyai pengetahuan penuh tentang pengendalian makanan khususnya.

“Banyak ketidak fahaman bukan Islam dalam mengendalikan makanan halal terutama jika yang tidak mempunyai sijil halal. Tidak dinafikan, sijil halal ini sangat penting sehinggakan orang bukan Islam juga berlumba-lumba mendapatkannya kerana pasaran halal yang sangat besar di Malaysia.

“Dan tentunya orang Islam lebih maklum dengan kehendak produk halal itu sendiri kerana pendedahan mengikut suruhan agama,” tambahnya.

Terdahulu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini yang melancarkan kempen mengutamakan pembelian produk Islam yang tular dalam media sosial.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP sebagai respon menyeru PAS dan UMNO menghentikan gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera dengan berkata, boikot sedemikian tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.

Kemudian semalam Menteri Industri Utama Teresa Kok meluahkan rasa sedihnya terhadap gerakan memboikot produk bukan Muslim.

Teresa berkata, semua produk buatan Malaysia sepatutnya menerima sokongan daripada pelbagai kaum.-MalaysiaGazette