BANGI – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu pengalamannya dipenjara selama 10 tahun dirasai oleh mana-mana rakyat Malaysia.
Beliau berkata, menjadi penghuni tirai besi sememangnya memeritkan kerana terpisah dengan segala yang ada di dunia luar.
Malah, beliau yang mendakwa dizalimi oleh kerajaan terdahulu berkata, perkara paling perit dalam hidupnya ialah apabila beliau tidak dapat bertemu dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ahli keluarganya yang lain.
“Apa yang saya lalui ini saya harap jangan dilalui oleh sesiapa pun. You salah cakap you lawan, you bantah itu hak. Tidak siapa boleh menghukum jika ada perbedaan pendapat.
“Tapi kalau you merompak, you merogol atau rasuah itu memang salah. Itu pandangan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Digital Native Agenda 23 (DNA23) sempena Minggu Mesra Siswa – Siswi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2019/2020 hari ini.
Anwar ditanya salah seorang daripada mahasiswa baharu UKM mengenai pengalamannya ketika dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh serta perjalanan kehidupannya selepas itu.
Anwar kini mahu menuntut kebebasan dan beriltizam membantu rakyat yang miskin dan golongan yang memerlukan.
Katanya, beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menyekat hasrat murninya itu dalam menyelesaikan masalah rakyat terbanyak.
“Kalau ditakdirkan saya menjadi perdana menteri sebagaimana dijanjikan, saya mahu menjadi seorang yang prihatin terhadap masalah rakyat. Yang angkat semua rakyat sebagai anak-anaknya,” ujarnya. – MalaysiaGazette