KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencadangkan nama seorang lagi wanita sebagai pengerusi sebuah bank.
Katanya, pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.
Setakat ini, tiga wanita telah dilantik sebagai pengerusi bank-bank tempatan.
Datuk Mohaiyani Shamsudin (Maybank) adalah wanita pertama yang dilantik sebagai pengerusi bank pada 1 April 2017, diikuti oleh Datuk Noripah Kamso (Bank Rakyat) pada 6 Disember 2018.
Manakala Datuk Zaiton Mohd Hassan dilantik sebagai Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad pada 18 Februari lalu.
“Bilangan 4 wanita sebagai pengerusi bank ini adalah lebih ramai berbanding semasa kerajaan lama, apabila hanya sebuah bank sahaja mempunyai pengerusi wanita.
“Ini adalah peningkatan penglibatan wanita di tahap profesional yang tertinggi dan kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meningkatkan peranan wanita yang berkebolehan tinggi dalam bidang perbankan, dan dalam bidang-bidang lain.
“Pencapaian besar yang menunjukkan lantikan wanita pertama sebagai timbalan perdana menteri tidak terhenti di situ sahaja,” katanya ketika berucap pada pertemuan dengan Kumpulan Fokus Belanjawan 2020.
Pertemuan itu dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – MalaysiaGazette