MANILA – Seorang wanita Amerika ditahan pagi semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (Naia) selepas pihak berkuasa menemui seorang bayi lelaki di dalam begnya.
Jurucakap Biro Imigresen (BI), Melvin Mabulac mengenal pasti wanita itu sebagai Jennifer Talbot, 43.
Dia kemudiannya diserahkan kepada Biro Penyiasatan Nasional untuk disoal siasat.
Mabulac memberitahu INQUIRER.net, Talbot sepatutnya meninggalkan negara itu untuk ke Amerika Syarikat ketika kakitangan Lapangan Terbang Naia di Terminal 3 menemui bayi tanpa dokumen di dalam begnya sekitar jam 6.20 pagi.
Bayi itu disembunyikan di dalam “beg pinggang yang besar” dan “tidak diisytiharkan atau diserahkan untuk diperiksa.
Mabulac tidak dapat mengesahkan jika Talbot adalah ibu atau penjaga bayi tersebut kerana pihak berkuasa tidak menemui sebarang dokumen perjalanan yang menunjukkan maklumat bayi tersebut.
Malah, wanita berkenaan juga tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen untuk menunjukkan dia mempunyai kuasa untuk membawa bayi berkenaan ke luar negara.
Malah, kewarganegaraan bayi berusia enam bulan itu tidak dapat disahkan.
Bayi lelaki itu dalam keadaan baik dan akan dihantar ke Jabatan Pembangunan dan Kebajikan Sosial. – MalaysiaGazette