KUALA LUMPUR – Ujian asid menanti skuad Harimau Malaya daripada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa depan.
Selepas menghapuskan badi 15 tahun dengan menjinak Indonesia 3-2 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, malam semalam, pemain negara bakal menghadap cabaran yang lebih sukar apabila menerima kunjungan pasukan Timur Tangah itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menyedari UAE bukan calang-calang pasukan, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberiĀ peringatan awal agar pemain negara tidak terus leka bergembira dengan kemenangan sulung Kumpulan G, saingan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Sebaliknya, beliau menasihatkan pasukan muda itu supaya memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh anggota skuad Harimau Malaya dari pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, penolong pengurus, Datuk Posa Majais, Coach Tan (Cheng Hoe), barisan kejurulatihan dan pegawai serta yang paling utama para pemain yang telah menampilkan semangat juang tinggi sehingga ke penghujung permainan untuk kita berjaya mencapai misi dan sasaran membawa pulang tiga mata penuh dari Jakarta ini.
“Tapi kita tak boleh terlalu bergembira dan leka dengan kemenangan ini kerana ia baru permulaan dan banyak lagi cabaran dan halangan yang perlu kita hadapi jika ingin berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan juga pusingan seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2022.
“Fokus kini perlu dialihkan segera untuk perlawanan seterusnya bertemu UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini (10 September 2019),” katanya dalam laman Facebook FAM.
Menurut Hamidin, beliau mahu momentum kemenangan kemenangan dapat diteruskan oleh Harimau Malaya. – MalaysiaGazette