KUALA LUMPUR – Sikap tidak cepat berputus asa menjadi kekuatan kepada pasukan Liga M3, Protap FC untuk bangkit pada pusingan kedua liga selepas pernah diwar-warkan akan menarik diri pada Mei lalu ekoran masalah kewangan.
Kejayaan mendapatkan penaja utama, Harini Sdn. Bhd nyata menyuntik semangat Protap FC yang kini belum pernah tewas dalam tujuh perlawanan terakhir dan kini perlahan-lahan mendaki ke tangga kesebelas daripada 14 pasukan di carta Liga M3.
Kehadiran jurulatih dari Serbia, Dusan Momcilovic yang pernah bertugas dengan kelab Indonesia, Arema FC dan dua pemain import, Metha Viblo Apingi dan Vino Ramazani menjadi antara faktor kebangkitan ini selain turut dibantu kewangan penaja untuk membawa masuk tujuh muka baharu pemain tempatan berpengalaman.
Menurut pengurus Protap FC, Syafiq Ikmal Fozi, mereka sudah boleh menarik nafas lega melihat kepada perkembangan pasukan pada kini dan berharap momentum tersebut dapat diteruskan sehingga penghujung musim saingan kelab amatur itu.
“Memang kami merasakan satu bebanan pada mulanya malah satu risiko juga kami bermula tanpa penaja yang khusus sebaik saingan Liga M3 bermula.
“Kami berusaha mencari penaja selagi yang kami mampu kerana rasa sayang juga mahu menarik diri kerana platform yang MFL bagi ini bukan semua pasukan boleh dapat malah Protap menjadi sebahagian daripada sejarah apabila menjadi kumpulan pertama bersaing di Liga M3.
“Selepas 10 perlawanan, mungkin ramai nampak perubahan yang MFL lakukan termasuk media, struktur dan penganjuran liga yang membuka mata penaja untuk beranikan diri kepada kami.
“Cabaran untuk bermain di tahun pertama di mana-mana liga bukannya mudah kerana usaha untuk menyakinkan penaja itu mungkin memakan sedikit masa.
“Bukan sahaja Protap, saya yakin pasukan-pasukan lain juga boleh mendapatkan penaja bagi terus bersaing dalam Liga M3 jika melalui platform yang betul, ” katanya.
Protap berjaya melakukan beberapa keputusan mengejut termasuk menewaskan pasukan di tangga ketiga, DDM FC sebanyak dua kali selain mengikat Ultimate FC 2-2 pada aksi terakhir Liga M3.
Sebelum ini, dalam 10 perlawanan pertama Liga M3, Protap sekadar mampu mengutip 1 mata dengan tewas dalam 9 perlawanan dan mereka kelihatan seperti sukar untuk bangkit daripada kemerosotan prestasi.
Jelas Syafiq, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh pemain dan pengurusan kerana bekerja keras dalam usaha memperbaiki imej Protap FC.
“ Pemain-pemain telah memberikan lebih 100 peratus dan kehadiran dua pemain juga banyak mengubah corak permainan kami selain tidak nafikan perubahan besar dibuat oleh jurulatih baharu.
“Semenjak di bawah kendaliannya (Momcilovic), Protap belum pernah tewas dan kami berjaya beri tentangan sengit kepada semua pasukan yang kami jumpa, ” katanya.
Protap akan berdepan dengan pasukan tangga tercorot, Tun Razak FC pada Ahad ini dalam aksi ke 18 Liga M3 di Stadium UM Arena.