Home Utama Pendakwaan mahu buktikan CEO Cradle Fund mati dibunuh

Pendakwaan mahu buktikan CEO Cradle Fund mati dibunuh

Samirah Muzaffar berjalan keluar selepas perbicaraan kes kematian suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2019

SHAH ALAM – Pihak pendakwaan  mahu membuktikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan mati akibat dibunuh dan bukan kerana satu kebakaran pada 14 Jun 2018.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Nazrin, 47, dibunuh terlebih dahulu di bilik utama di kediamannya di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya sebelum dibakar untuk menutup punca kematian.

Raja Rozela berkata, pendakwaan akan membuktikan CEO Cradle Fund itu dibunuh antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga 4 pagi pada 14 Jun 2018 di dalam bilik tidur utamanya.

Dalam ucapan pembukaan bagi kes pembunuhan Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman kira-kira jam 10 pagi ini, Raja Rosela berkata, sebelum kejadian, Nazrin tinggal bersama-sama tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44, dan dua tertuduh remaja serta dua anak kecil selain seorang wanita warga Indonesia bernama Eka Wahyu Lestari.

Menurut Raja Rosela, hasil bedah siasat kedua yang dijalankan selepas permohonan abang mangsa, kira-kira tiga bulan selepas kematian Nazrin, mendapati mangsa mati akibat hentakan tumpul di kepalanya.

“Bedah siasat kedua dijalankan pada 8 Oktober 2018 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan hasil bedah siasat kedua ini menunjukkan bahawa kematian si mati adalah akibat ‘multiple blunt impact to the head’.

“Pihak pendakwaan juga akan membuktikan melalui keterangan pakar perubatan forensik bahawa kematian si mati adalah disebabkan oleh hentakan benda tumpul di kepala di mati dan hentakan ini adalah secara lazimnya boleh menyebabkan kematian kepada si mati.

“Keterangan akan menunjukkan si mati tidak mati dalam kebakaran itu. Si mati telah mati sebelum kebakaran dan kebakaran itu telah sengaja dibuat bagi menyembunyikan punca sebenar kematian si mati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hari pertama perbicaraan terhadap bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah, 44, yang juga isteri mangsa dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun.

Turut didakwa seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas dipercayai membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Raja Rozela berkata, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 14 Jun 2018, bomba dimaklumkan mengenai satu kebakaran di rumah berkenaan dan apabila tiba di tempat kejadian, didapati bilik tidur utama di tingkat dua rumah itu yang terbakar.

Beliau berkata, selepas kebakaran dipadamkan, pasukan bomba menemui mayat Nazrin dalam keadaan terbaring di atas lantai bilik berkenaan.

Katanya, mayat Nazrin dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian mangsa akibat komplikasi dari letupan dan kecederaan tusukan tumpul.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah sekali lagi di mana Samirah yang tiba di mahkamah dengan dua remaja itu kira-kira jam 8.40 mengenakan baju kurung berwarna coklat dan bertudung hitam.

Remaja berusia 17 tahun itu memakai sepasang sut berwarna hitam dan remaja berusia 14 tahun pula memakai seluar panjang berwarna cerah serta berkemeja berwarna biru cair.

Pendakwaan turut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Ashyraf Ashyari, Noor Mawarni Halim dan Wan Shahida Wan Omar manakala pembelaan diwakili Tan Sri Shafee Abdullah, L S Leonard, S Suresh, Rahmat Hazlan, Savreena Kaur, Mardhiyah Siraj dan Zahriah Eleena Redza.

Perbicaraan itu turut disertai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa, Zain Arif dan Selvi Sandasegaran mewakili Kerajaan Republik Indonesia. – MalaysiaGazette