Home Nasional Kokurikulum, pembelajaran tabika Kemas perlu sentiasa ditambah baik

Kokurikulum, pembelajaran tabika Kemas perlu sentiasa ditambah baik

R. Sivarasa

GEORGE TOWN – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) perlu sentiasa membuat penambahbaikan dalam aspek kokurikulum dan kaedah pembelajaran Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) mengikut peredaran masa.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa berkata, penambahbaikan itu juga perlu mengikut keperluan kanak-kanak.

“Kita mahu kokurikulum yang kita ajar di Tabika Kemas ini sentiasa ditambah baik dan perlu yang terkini. Ia perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dan perlu mengikut keperluan anak-anak. Cara pendidikan pada masa kini tidak sama dan ia berbeza dengan zaman 20 atau 30 tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini malam tadi.

Sivarasa berkata, Kemas kini sedang melaksanakan program perintis di beberapa tabika dengan memasukkan elemen pembelajaran tambahan seperti Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik.

Beliau berharap Tabika Kemas dapat bersaing dan setanding dengan tabika-tabika swasta yang terdapat di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, kakitangan Kemas juga perlu melaksanakan tugas dengan profesional dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“Perlu ada tahap profesionalisme dalam kalangan kakitangan Kemas di mana saya berharap kakitangan di sini dapat membuat tugasan dan menggalas tanggungjawab secara profesional, menjadikan institusi ini satu institusi yang hebat dan tidak memihak kepada mana-mana politik,” katanya.

Hari Potensi Kemas merupakan aktiviti kokurikulum Tabika Kemas yang dilaksanakan secara tahunan sejak tahun 2006.

Ia melibatkan pertandingan acara bakat atau sukan yang dilaksanakan secara giliran setiap tahun bermula dari peringkat Parlimen, daerah, negeri hingga ke peringkat kebangsaan. – Bernama