KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar (KPKT) terkilan dan kecewa dengan keputusan Kerajaan Pakatan Harapan untuk menghentikan projek perumahan rakyat (PPR).
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, program sosial seperti penyediaan rumah kos rendah PPR adalah tanggungjawab sebuah kerajaan, sebab itulah kerajaan tidak boleh mengharapkan keuntungan.
Ini kerana, PPR bukan sahaja memberi peluang kepada orang miskin dan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rumah selesa tetapi ia juga mempunyai agenda yang lebih murni dari itu.
Katanya, PPR adalah program berkongsi kekayaan negara dengan golongan kurang berada dalam negara kerana golongan ini juga turut sama menyumbang membangunkan negara.
Lantaran itu, katanya, semasa di bawah era Barisan Nasional (BN) dahulu, perumahan adalah agenda agresif dan utama kerajaan.
Contohnya, bagi projek PPR yang dijual kepada orang kurang berkemampuan (melalui penjualan langsung atau skim sewa beli), kerajaan BN sebenarnya mahu mengagihkan kekayaan negara kepada golongan kurang kemampuan ini.
Selain PPR, banyak program perumahan yang diwujudkan termasuk melalui SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad), PR1MA (Projek Perumahan 1 Malaysia) dan PPA1M (Projek Perumahan Pegawai Awam 1 Malaysia).
Malah, kerajaan negeri-negeri di era BN dahulu diminta untuk mengwujudkan agensi perumahan masing masing kerana perumahan adalah agenda besar nasional.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, harga sebuah rumah PPR ialah antara RM35.000 hingga RM42,000 sedangkan nilai harga rumah itu sekitar RM150,000.
“Jadi apabila rumah PPR ini dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah, mereka mendapat harta berharga bernilai tiga hingga empat kali ganda daripada pelaburan asal dan inilah cara BN berkongsi kekayaan negara dengan golongan miskin,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Jelasnya, walaupun kos PPR tinggi tetapi kos ini boleh dikongsi dengan negeri-negeri dan pemaju perumahan swasta.
Selain daripada menyediakan perumahan untuk rakyat kurang kemampuan, kerajaan BN dahulu juga menyedari bahawa industri pembinaan rumah mempunyai banyak kesan positif kepada ekonomi.
“Lebih 120 industri berkaitan dapat menafaat secara langsung dan tidak langsung dari pertumbuhan sektor pembinaan rumah.
“Dari sekecil-kecil seperti perniagaan sudu, garfu dan langsir sehinggalah industri berat seperti simen, batu-bata, kayu, atap, cat, elektrik, jubin, elektronik, peralatan tandas, peralatan dapur dan perabot.
“Malah industri perkhidmatan seperti telekomunikasi, insuran, khidmat guaman dan pengangkutan turut mendapat tempias pertumbuhan industri pembinaan perumahan. Semua industri ini akan membayar cukai kepada kerajaan,” ujarnya.
Sebab itu kerajaan tidak boleh melihat PPR hanya dari segi kos yang tinggi kerana pulangan kepada kerajaan datang dari berbagai sudut.
Selain dari kutipan cukai seperti yang disebut di atas, pulangan besar kepada kerajaan ialah kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah yang mendapat perumahan yang selesa.
Dalam konteks Sabah pula, Abdul Rahman berkata, pemberhentian projek perumahan PPR ini akan memberi kesan besar kepada rakyat negeri itu kerana Sabah adalah penerima projek PPR terbesar negara. – MalaysiaGazette