Home Uncategorized Mat Sabu akui jet pejuang Malaysia usang, perlu diganti

Mat Sabu akui jet pejuang Malaysia usang, perlu diganti

Mohamad Sabu
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bercakap pada sidang media pada Program Run For Peace di Klang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 SEPTEMBER 2019

KLANG – Kementerian Pertahanan sedang mempertimbangkan tawaran Rusia untuk mengambil balik 28 jet pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bermasalah untuk digantikan dengan pesawat baharu buatan negara itu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, keperluan penggantian itu memandangkan keadaan aset pertahanan negara itu sudah usang dan perlu penggantian.

“Itu masih peringkat perundingan, kajian dan lihat kesesuaiannya dan kemampuan kewangan kita.

“Memang semua perolehan kita telah usang dan perlu penggantian, tapi di mana nak ganti itu bergantung kepada perundingan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas melepaskan Larian Keamanan 2019 anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM) di Padang Besar, Taman Klang Jaya, hari ini.

Mohamad Sabu
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu diiringi Timbalan Presiden Sika Gakkai Malaysia, Johny Ng Teck Sim (kanan) menyempurnakan gimik pelepasan larian amal pada Program Run For Peace di Klang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 SEPTEMBER 2019

Khamis lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Vladivostok membuat tawaran itu kepada Malaysia.

Russia juga menawarkan alat ganti baharu dan khidmat baik pulih jika Malaysia memutuskan untuk mengekalkan pesawat lama berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir memberitahu Putin bahawa Kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan kedua-dua tawaran Russia itu.

Pertemuan itu diadakan di luar Forum Ekonomi Timur (EEF) 2019 di Vladivostok. Ini kali pertama Malaysia menghadiri forum berkenaan.

Difahamkan cadangan itu dibuat sebuah organisasi swasta kepada kerajaan semasa Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA) tahun ini. – MalaysiaGazette