KUALA LUMPUR – Polis tidak menemui sebarang petunjuk kukuh berhubung dakwaan sabotaj ke atas gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan masih dijalankan.
“Kami sedang berunding dengan pakar untuk menyiasat perkara tersebut dengan lebih dalam lagi.
“Kami mahu siasatan selesai secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar ke Unit Tindakan Khas Bukit Aman (UTK).
Setakat ini, polis sudah merakamkan kenyataan 12 individu.
Kes itu disiasat selepas pengendali KLIA, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membuat empat laporan polis berhubung gangguan sistem di lapangan terbang itu baru-baru ini.
Kejadian seumpama itu adalah kali pertama berlaku di KLIA. – MalaysiaGazette