Home Utama Bekas gangster kongsi kisah bertemu ‘Adam’ sebelum peluk Islam

Bekas gangster kongsi kisah bertemu ‘Adam’ sebelum peluk Islam

foto hiasan - HAZROL ZAINAL/MG.
ALOR SETAR – Seorang bekas ahli kumpulan kongsi gelap tidak menyangka pertemuannya dengan seorang individu bernama ‘Adam’ di sebuah masjid, di sini ‘membuka jalan’ untuknya memeluk Islam biarpun sebelum ini tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian.

Abdul Rahman Abdullah, 38, atau nama asalnya Chee Yin Wei berkata pertemuan singkat yang tidak dijangka itu berlaku sekitar Julai tahun lepas di mana ketika itu dia berada dalam keadaan tidak tentu arah disebabkan pelbagai masalah.

“Saya berasa sangat tertekan disebabkan masalah rumah tangga, masalah hutang dan masalah gangsterisme saya sehinggakan saya telah masuk ke perkarangan masjid itu sebelum tanpa dijangka bertemu dengan Adam.

“Saya kemudian menceritakan masalah saya kepada Adam dan selepas itu dia pelawa saya ikut solat Asar pada waktu itu dan walau pun saya bukan muslim saya setuju dan dia ajar saya berwuduk dan minta ikut pergerakan solat sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, sepanjang melakukan solat itu, hatinya berasa cukup tenang dan berasa sangat sebak terutama ketika bersujud kerana memikirkan perbuatan dan dosa yang pernah dilakukan sebelum ini sekaligus membuatkannya memasang niat untuk memeluk agama Islam.

Abdul Rahman yang sebelum ini juga pernah bekerja sebagai tukang masak di Singapura berkata dia kemudiannya membuat kajian dan memahami mengenai agama Islam sebelum bertindak memeluk agama itu dua minggu kemudian.

“Pada 7 Ogos tahun lepas saya pergi menemui seorang imam di sebuah masjid di Jalan Pegawai, di sini dan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan ahli jawatankuasa masjid itu, Alhamdulillah saya bersyukur dipilih terima hidayah tidak ternilai ini,” katanya.

Abdul Rahman yang berasal dari Tongkang Yard, di sini berkata pada mulanya ibunya tidak bersetuju dengan tindakannya memeluk Islam, namun selepas diberikan penjelasan ibunya dapat memahaminya dan kini sentiasa menghantarnya ke masjid setiap kali solat Jumaat.

“Walaupun dulu saya dipandang hebat, bengis dan hidup senang , namun saya tinggalkan semua itu dan memilih Islam sebagai pegangan akidah walaupun mulanya susah meneruskan hidup kerana ditinggalkan rakan dan saudara mara selepas bergelar muslim,” katanya.

Abdul Rahman yang berkebolehan memasak kini mencari pendapatan dengan mengambil upah menyediakan hidangan bagi majlis kenduri dan jamuan untuk program-program yang dianjurkan agensi serta jabatan kerajaan.

Beliau juga adalah salah seorang daripada 5,800 saudara baharu yang berdaftar di negeri ini dan masih mengikuti pengajian di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Alor Setar dan beberapa pusat pengajian lain yang dikendalikan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

— BERNAMA