Home Utama 1MDB: Amhari akui minat jadi pegawai khas Najib

1MDB: Amhari akui minat jadi pegawai khas Najib

Saksi yang merupakan bekas Pegawai Khas Bekas Perdana Menteri, Amhari Efendi Nazaruddin hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Amhari Efendi Nazaruddin seolah-olah ‘terperangkap’ dengan soalan yang dikemukan oleh peguam bela mengenai ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low pada prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Perbicaraan skandal 1MDB dengan dakwaan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion juga dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah masuk hari ke-6 prosiding hari ini.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan bela Najib mengasak saksi kelapan itu tentang perkenalan antara beliau dan Jho Low sebenarnya lebih awal daripada dakwaannya sebelum ini.

Shafee juga cuba mengaitkan jawatan pegawai khas yang disandangnya itu merupakan cadangan Jhow Low malah Amhari sendiri sebenarnya sangat berminat untuk menjadi pegawai khas Najib sejak awal lagi.

Amhari bagaimanapun menafikan cadangan-cadangan itu namun terpaksa mendedahkan beliau ada menghubungi Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail bertanyakan tentang kekosongan bagi jawatan pegawai khas setelah diasak beberapa kali.

Pada awalnya ketika Shafee bertanya adakah Wan Ahmad dan saksi belajar di sekolah yang sama dan adakah Amhari ada menghubungi pegawai khas Najib ketika itu, saksi ke-8 itu tidak bersetuju.

Bagaimanapun seketika selepas itu, Amhari sendiri secara sukarela mengakui beliau mengenali Wan Ahmad melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menghubunginya untuk bertanyakan tentang kekosongan jawatan pegawai khas Najib.

Shafee: Jadi betullah cadangan saya, yang anda yang menghubungi Wan Ahmad dan melahirkan rasa minat untuk bekerja sebagai pegawai khas Najib?

Amhari: Biar saya bantu anda dengan beri penjelasan tentang perkara ini, boleh?

Shafee: Anda sememangnya tidak boleh bantu saya tetapi memang boleh beri penjelasan tentang cadangan saya.

Amhari: Saya memang berminat untuk bekerja di bawah Datuk Seri Najib Razak. Oleh itu, saya ada cuba untuk jawatan pegawai khas tetapi tidak berjaya. Saya hubungi Wan Ahmad tentang perkara itu namun katanya tidak ada kekosongan.

Shafee: Jadi anda yang cari Wan Ahmad untuk jawatan ini dan bukan sebaliknya?

Amhari: Ya. Betul.

Terdahulu, Shafee Abdullah juga ada memberi cadangan bahawa Amhari dan Jho Low sebenarnya sangat ‘bercita-cita tinggi’ dan saling mengenali lebih awal namun saksi tidak bersetuju.

Shafee juga meminta kepastian seandainya Jho Low telah menggunakan ‘kuasanya’ untuk mendapatkan Amhari jawatan pegawai khas dan ia juga mungkin antara sebab bagaimana Amhari mendapat tahu tentang pekerjaan itu terlebih dahulu sebelum pengesahan rasmi dilakukan.

Amhari tidak bersetuju namun tidak memberikan penjelasan lanjut.

Amhari juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu adalah menjadi kesalahan untuk tidak mengisytiharkan AS$200,000 (RM808,000) yang dipinjamkan kepadanya oleh Jho Low bagi tujuan pembelian rumah di Kota Damansara.

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. –MalaysiaGazette