TALLINN – Skuad Belanda menang mudah dalam aksi kelayakan Euro 2020 apabila berjaya menundukkan Estonia 4-0 dalam perlawan yang berlangsung awal pagi hari ini.
Dua daripada gol kemenangan pasukan itu disempurnakan pemain Ryan Babel menjadikan pasukan kendalian Ronald Koeman berada dikedudukan ketiga Kumpulan C.
“Sebelum perlawanan kami sedar jika kami tidak fokus sejak mula ia akan menjadi malam yang sukar.
“Adalah sesuatu yang hebat menjaringkan dua gol buat pertama kali – saya pemain yang mendapat suntikan menerusi keyakinan.
“Saya bukan lagi pemain muda dalam pasukan, jadi saya cuba mengurangkan masalah dengan kepantasan menerusi pengalaman saya,” kata Babel kepada stesen televisyen NOS selepas perlawanan tersebut.
Memphis Depay menjadi bintang pada penampilan ke-50 buat Belanda dengan satu gol dan dua bantuan gol manakala Georginio Wijnaldum menjaringkan gol buat kali kedua dalam empat hari selepas turut meledak ketika menang 4-2 mengatasi Jerman Jumaat lalu di Hamburg.
Belanda, juara Euro 1988 cuba kembali ke persada Eropah selepas gagal melakukannya pada Euro 2016 dan Piala Dunia tahun lalu. – MalaysiaGazette