Home Nasional Kerjasama kerajaan pusat, negeri mampu selesaikan etika pakaian atlet wanita ikut syarak

Kerjasama kerajaan pusat, negeri mampu selesaikan etika pakaian atlet wanita ikut syarak

Wan Hassan Mohd Ramli

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mencari jalan bagi menyelesaikan isu etika pemakaian atlet wanita dengan tidak membelakangi tuntutan syarak.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu yang mana hasilnya mampu memberi impak positif.

Wan Hassan yang memuji tindakan Terengganu yang menarik diri daripada sukan gimnastik dan gimrama wanita berkata, langkah berkenaan katanya selari dengan apa yang digariskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di dalam perkara 10.2 garis panduan bersukan menurut Islam.

“Sewajarnya kerajaan pusat Pakatan Harapan menyokong penuh hasrat murni tersebut dan menaiktaraf sebagai sebuah akta bagi diaplikasi secara meluas dalam semua bidang sukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru beliau berpendapat adalah lebih baik sekiranya perjumpaan yang bakal diadakan di antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan Exco Terengganu bagi mendapat pandangan secara langsung.

Beliau mengharapkan perbincangan tersebut tidak mengetepikan penetapan acara khusus yang boleh disertai atlet muslim dan bukan muslim.

“Ia penting untuk memudahkan etika berpakaian yang sebenar terutama bagi atlet wanita muslim dalam menghormati tuntutan agama.

“Kerajaan Pusat seharusnya adil membuat keputusan agar tidak menzalimi mana-mana atlet yang ingin bersukan pada masa yang sama mampu melaksanakan Syariah Islam.

“Keadilan kerajaan dalam memberi ruang kepada atlet mengamalkan syiar Islam mampu membentuk imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam sekali gus akan lebih dihormati disebabkan tidak terikut-ikut dengan budaya barat.

“Islam tidak melarang umatnya bersukan malah menggalakkan penganutnya menyertai bidang ini, sebagaimana maksud hadis Rasullullah SAW, tidak akan dijangkiti penyakit bagi orang yang sihat.

“Namun begitu aktiviti ini tidak boleh mengetepikan tuntutan syarak serta tidak meninggalkan nilai kesopanan, adat dan budaya Melayu Islam,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette