KUALA LUMPUR – Kempen Buy Muslim First (BMF) adalah implementasi daripada konsep ta’awun bagi memperkasa ekonomi umat Islam.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ia selaras dengan usaha mendaulatkan segala perintah al-Quran dan hadis.
“Adalah menjadi keutamaan kepada umat Islam untuk mendaulatkan segala perintah al Quran dan hadis dalam segenap aspek kehidupan termasuklah aktiviti jual-beli dan dikira sebagai mujahadah dan ibadah di sisi Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Harussani, umum mengetahui kekuatan sesuatu bangsa dipengaruhi oleh kekuatan ekonomi dan seorang Islam yang kuat akidahnya akan memperkuatkan ekonominya dengan memastikan rantaian produk mestilah bersumberkan bahan mentah dan kaedah penyediaan yang halal dan thoyyib (kebaikan).
“Makan dengan ini saya menyeru seluruh umat Islam di negara ini agar bersama-sama menjayakan agenda memperkasakan ekonomi umat Isla dengan berusaha bersungguh-sungguh membeli dan menyokong produk muslim,” katanya.- MalaysiaGazette