KUALA LUMPUR – Pas sekali lagi menegaskan kerjasama politik antara UMNO dan parti itu adalah dasar penyatuan bukan perkauman.
Berikutan itu Pas menolak sebarang propaganda yang dicetuskan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menggambarkan hubungan Pas dan UMNO bermotifkan sentimen perkauman yang sempit dan boleh mengundang konflik keharmonian,
Ini kerana, tegas Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, Pas memberi jaminan agenda penyatuan ummah tidak akan meminggirkan hak-hak orang bukan Islam sepertimana yang diajar oleh Islam dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah, Pas telah merintis banyak perbincangan dengan MCA dan MIC sebelum ini agar pelbagai salah faham dapat diperbetulkan.
“In Shaa’ Allah, penyatuan ummah ini akan menguntungkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ujarnya, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah mengatakan bangsa Melayu telah berpecah belah.
Lantas, tindakan membentuk kerjasama Pas dan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk mempertautkan semula orang-orang Melayu yang merupakan tonggak politik utama negara dengan menjadikan Islam sebagai teras penyatuan.
Tuan Ibrahim menambah, Pas menyedari jentera PH semakin agresif menjelang Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) dengan menggambarkan kerjasama politik dua parti politik Melayu Islam ini adalah tindakan rasisme dan ekstremisme.
Malah, PH turut mendoktrinkan kempen mengutamakan produk Muslim (BMF) sebagai agenda boikot barangan bukan Muslim.
Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, doktrin pecah dan perintah sangat sinonim dengan agenda PH untuk bongkak berkuasa.
“Laporan Straits Times pada bulan Jun 2018 telah memetik pandangan daripada Merdeka Centre dan Kumpulan KRA yang mendedahkan kira-kira 95 peratus pengundi Cina dan 75 peratus pengundi India menyokong PH.
“Oleh itu, tidak salah jika Pas dan UMNO mengukuhkan kembali kekuatan dalam kalangan 70 peratus pengundi Melayu. Hasrat PH sebenar adalah untuk memecahkan kesatuan 70 peratus ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, banyak isu yang dimainkan oleh PH termasuk kumpulan pendukungnya yang jelas menggugat status quo negara seperti ICERD, Statut Rom, UEC, Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, LGBT serta hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Jadi, penyatuan ini adalah satu tuntutan yang mendesak supaya dapat mengimbangi isu-isu sensitif yang dimainkan oleh PH. – MalaysiaGazette