KUALA LUMPUR – Piagam Penyatuan Ummah antara Pas dan UMNO pada Sabtu ini menjadi medan menguji keikhlasan umat Islam yang melibatkan dua parti besar itu.
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, jika penyatuan itu berjaya ia merupakan titik permulaan, namun, jika sebaliknya memang sukar untuk umat Islam untuk bangkit selepas ini kerana berleluasa dan bermaharajalenya ultra kiasu.
“Jika menang, jadikan ia sebagai titik permulaan untuk kembalikan yang telah hilang, baiki apa yang telah dirobek,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ridhuan Tee berkata, langkah yang diambil oleh Pas dan UMNO menerusi piagam berkenaan diharap bukan sekadar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), atau sekadar mahu mengalahkan Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, ia perlu digunakan untuk mendapat kembali apa yang telah hilang serya memastikan rakyat tidak merana hasil perbuatan pada masa lalu.
“Pastikan generasi akan datang tidak mengutuk kita semua.
“Kita perlu belajar sejarah, mengambil iktibar sejarah, supaya sejarah mengajar kita, bukan sejarah mengutuk kita,” ujarnya.
Menurut Ridhuan Tee, jika sekadar untuk menang PRU15 dan mengalahkan PH, agenda perpaduan tidak akan bertahan lama dan ia akan terkubur.
Ujarnya, agenda perpaduan ummah mesti mampu mengatasi ego, kemaruk kuasa, kemaruk undi dan nafsu nafsi.
“Letakkan Allah dan agamanya di hadapan, pasti akan ruang dan jalan untuk mendepani masa depan yang lebih gemilang.
“Pastinya, bukan Melayu dan bukan Islam turut akan terkesan dengan terpancarkan keadilan Islam itu.
“Ingat, jika kamu tolong Allah, nescaya Allah akan tolong kamu,” katanya. – MalaysiaGazette