KUALA LUMPUR – Pembiayaan politik, pemerolehan kerajaan, tanggungjawab fiskal, peruntukan fiskal persekutuan-negeri, subsidi dan agenda bumiputera merupakan antara perkara yang dicadangkan oleh Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (IDEA) kepada kerajaan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan pada 11 Oktober ini.
Badan itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, pada bulan lepas, Pejabat Bajet Kebangsaan Malaysia (NBO) telah meminta IDEAS memberikan input-input berhubung reformasi institusi supaya boleh dimasukkan dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2020.
“Prinsip paling penting di sebalik cadangan-cadangan tersebut adalah meminta kerajaan supaya mengamalkan keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti di dalam melakukan proses membuat keputusan.
“IDEAS turut membuat beberapa cadangan berkenaan bagaimana kerajaan patut menambah baik skor mereka dalam kaji selidik terbuka bajet (OBS) yang akan diterbitkan akhir tahun ini,” katanya.
Jelas badan tersebut, cadangan berkenaan merangkumi penerbitan beberapa dokumen seperti semakan semula pertengahan tahun, penyata pra-bajet dan bajet rakyat untuk pusingan seterusnya, menambah baik bajet dan menambah baik cadangan eksekutif bajet yang merangkumi ucapan, anggaran perbelanjaan kerajaan persekutuan, anggaran hasil kerajaan persekutuan dan laporan ekonomi. – MalaysiaGazette