KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membatalkan lesen syarikat-syarikat besar yang melanggar sekatan pembakaran terbuka sehingga mengakibatkan negara kembali dilanda jerebu.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak Jofri Jaraiee berkata, pemantauan pemantauan terhadap aktiviti syarikat besar khususnya yang mahu membuka ladang baharu perlu giat dilakukan.
“Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar sekatan pembakaran terbuka, terutamanya di tanah gambut dan kawasan mudah terbakar.
“Kerajaan harus memantau dengan menggunakan alat seperti dron atau satelit di kawasan mudah terbakar seperti ladang baru yang dieksplorasi oleh syarikat besar.
“Kerajaan perlu memberi tekanan kepada mereka kerana mereka sering menggunakan cara mudah untuk meluaskan ladang mereka dengan pembakaran terbuka. Tindakan tegas seperti denda dan pembatalan lesen mereka sekiranya mereka didapati bersalah,” katanya menerusi kenyataan.
Meskipun aktiviti pembakaran berskala besar telah berlarutan sejak tahun 70-an lagi, namun Jofri kesal tindakan yang diambil sebelum ini dilihat tidak memberi impak besar untuk memberi pengajaran.
“Isu sebenar adalah bahawa hutan yang luas telah dibersihkan untuk penanaman kelapa sawit dan lada di Indonesia dan Malaysia.
“Untuk mendapatkan lebih banyak tanah untuk perladangan, syarikat itu akan mula meneroka tanah gambut. Apabila gambut dikeringkan, tanah menjadi sangat kering. Perkembangan kelapa sawit dan lada yang tidak terkawal, terutama dalam dua dekad yang lalu, telah menjadi punca utama jerebu,” katanya lagi.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin semalam berkata, Indonesia kini dalam usaha memberkas mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab melakukan aktiviti pembakaran haram hingga menyumbang kepada fenomena jerebu rentas sempadan di Malaysia.
Untuk rekod Sarawak antara negeri yang terjejas teruk akibat jerebu hingga 409 buah sekolah terpaksa ditutup semalam -MalaysiaGazette