KUALA LUMPUR – Orang Melayu diminta tidak mengendahkan igauan suara-suara negatif yang sengaja memberi konotasi buruk agar agenda penyatuan ummah yang digerakkan oleh UMNO dan Pas gagal dan dihentikan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sejak sekian lama, penyatuan bangsa Melayu didambakan ramai pihak namun hasrat murni ini terhenti hanya pada laungan dan seruan.
Pemeteraian Piagam UMNO-Pas yang bakal dimuktamadkan pada 14 September ini merupakan permulaan segar kepada naratif dan pembawaan baharu politik Melayu dan Islam – iaitu sebuah amalan politik progresif dan realistik.
Ia juga melambangkan kematangan dan kesanggupan elektoral Melayu Muslim untuk melupakan perbezaan yang wujud demi matlamat yang lebih besar.
“Akan tetapi, dalam menjayakan ‘Agenda Penyatuan Ummah’ ini, wujud sahaja suara-suara negatif yang bukan sahaja pesimis dan menghina. Namun, kelihatan sengaja memberikan konotasi buruk agar ikhtiar ini gagal dan dihentikan.
“Antaranya, kenyataan YB Lim Guan Eng bahawa agenda penyatuan ini adalah satu ‘isyarat perang’ kepada golongan bukan Melayu dan bukan Islam. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, YB Nga Kor Ming pula menuduh kerjasama ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara Taliban.
“Malah, YAB Perdana Menteri sendiri tidak ketinggalan. Beliau secara tiba-tiba muncul dan menggesa Pas terlebih dahulu menarik balik label ‘kafir’ yang pernah diberikan mereka kepada UMNO semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke-4 dahulu.
“Biarlah mereka dengan igauan mereka. UMNO dan Pas akan terus rasional dalam mendepani ini semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Keyakinan itu berdasarkan kepada nilai progresif dan ‘pragmatism’, selain membawa dua parti politik yang berbeza ideologi menjadi satu kekuatan politik baru adalah langkah yang progresif.
Jelasnya, UMNO dengan ideologi nasionalismenya telah membuka ruang untuk menyelami politik Islam sebagai lonjakan baru kepada perjuangannya.
Sementara Pas pula, dengan ideologi Islamnya, bersedia untuk bekerjasama dengan pendukung ideologi kebangsaan dalam memacu demokrasi Malaysia yang semakin matang.
In merupakan satu permulaan kepada usaha-usaha yang sistematik, terarah dan berhikmah yang menunjukkan betapa akhirnya, natijah dari semua ini ialah politik yang progresif dan pragmatik.
“Agenda Penyatuan Ummah ini diyakini dapat memulih dan menyusun semula paradigma dan daya tahan bangsa agar bersifat sezaman dan luwes. Keanjalan dalam sikap dan pendirian politik adalah perkara yang mesti diusahakan tanpa prejudis dan memilih-milih. Malah, menjangkaui spektrum politik.
“Kedua, kerjasama ini adalah lonjakan besar dalam demokrasi Malaysia yang matang,” ujarnya.
Oleh yang demikian, Pemeteraian Piagam UMNO-Pas bukan sahaja tidak bercanggah dengan nilai dan semangat demokrasi yang terbuka, malah mengukuhkannya.
Garapan pendekatan dan pengisian sebegini secara tidak langsung akan mematangkan amalan demokrasi dalam negara kerana apabila komuniti majoriti memilih untuk merapatkan jurang dan melupakan persengketaan, lebih mudah untuk keseluruhan masyarakat bergerak mara ke hadapan.
“Negara tidak akan lagi dibelenggu oleh perpecahan, perselisihan dan perbezaan yang bukan sahaja memisahkan kita antara satu sama lain. Tetapi telah menyukarkan sebarang dasar yang progresif dan baik.
“Pada masa yang sama, bangsa dan masyarakat akan memerdekakan diri dari wacana sempit tentang hak dan ketuanan dan memfokuskan kepada sesuatu yang lebih substantif, mencabar dan global.
“Percayalah, kerjasama UMNO dan Pas ini akan menjadikan Malaysia ini lebih demokratik kerana pelbagai aktornya, tampil dengan pelbagai pendekatan yang inovatif dalam meraih kepercayaan rakyat.
“Ketiga, kerjasama UMNO dan Pas ini sangat penting untuk membangunkan kekuatan politik Melayu Islam bagi menghadapi gelora globalisasi yang semakin mencabar,” katanya. – MalaysiaGazette