Home Dunia Presiden Indonesia ketiga BJ Habibie meninggal dunia

Presiden Indonesia ketiga BJ Habibie meninggal dunia

JAKARTA – Presiden ketiga Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie, meninggal dunia di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.

Menurut anak lelakinya, Thareq Kemal yang dipetik media tempatan, bekas presiden itu meninggal dunia jam 6.01 petang waktu Indonesia Barat, selepas menjalani rawatan intensif oleh pasukan Doktor Kepresidenan Indonesia selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 1 Sept lepas.

BJ Habibie, 83, adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Sebelum ini, pada Mac 2018, BJ Habibie juga menjalani rawatan intensif di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan ‘asphyxia’. – Bernama