KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin bertegas mahu berjumpa dengan Presiden dan pemimpin parti yang dipilih sahaja, seperti yang diminta melalui tiga surat yang dihantarnya sebelum ini.
Beliau berkata, ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengannya.
“Saya tunggu Presiden panggil saya untuk berjumpa. Hari itu dia kata dia sedia berjumpa, jadi sudah tentu kita tunggu nak jumpa dialah.
“Kita nak bercakap dengan Presiden kita dan dengan orang yang dipilih (ahli parti),” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Smart Cities (Bandar Pintar) Tahunan ke -5 hari ini.
Pada 3 September lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak permintaan Zuraida untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu dalaman parti itu.
Anwar pula menyifatkan isu surat itu sebagai remeh, sebaliknya menyarankan Zuraida hadir mesyuarat.
Dalam pada itu, Zuraida menegaskan Pakatan Harapan Selangor tidak goyah seperti yang didakwa sedang berlaku di Johor.
“Pakatan Harapan Selangor berjumpa. Bawah Menteri Besar (Amirudin Shari) ada jumpa, saya rasa sekurang-kurangnya sekali sebulan,” katanya. -M alaysiaGazette