PUTRAJAYA – Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual di negara ini masih lagi peringkat cadangan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menjelaskan, kempen yang terhad untuk rumah-rumah mewah tidak terjual yang bernilai RM100 bilion mengikut harga pasaran baharu dibincangkan di peringkat kementerian.
Malah kata beliau, cadangan itu belum lagi dibawa ke kabinet secara rasmi.
Menurut beliau, selepas penelitian dan cadangan itu diperkemaskan, kempen itu akan terbuka kepada semua pembeli luar negara dan bukan hanya kepada China dan Hong Kong sahaja.
“Cadangan kempen itu merupakan respon awal hasil lawatan ke Hong Kong baru-baru ini.
“Di sana ada mogok kerana rakyat tidak boleh memiliki rumah. Jadi cadangan itu ada ruang untuk dikaji dan masih di peringkat penelitian.
“Kempen ini hanya untuk Program Rumah Kedua dan tidak hanya untuk pembeli dari China dan Hong Kong. Apabila diperkemaskan cadangan ia akan terbuka kepada semua pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pra pelancaran Forum Asia-Pasific Ke-7 (APUF7) di kementeriannya hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangannya semalam HOC akan menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual di negara ini.
Kenyataan beliau itu mendapat kritikan pelbagai pihak dan juga netizen. – MalaysiaGazette