Home Utama Takiyuddin yakin keluarga mangsa Memali maafkan UMNO

Takiyuddin yakin keluarga mangsa Memali maafkan UMNO

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Keluarga dan waris mangsa tragedi Memali telah memafkan UMNO sejak kedua-dua parti menyuarakan hasrat untuk menandatangani piagam bersama-sama.

Bukan sahaja kerana semua ahli patuh kepada kepimpinan,  malah menurut Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, kejadian itu dianggap takdir yang telah berlaku.

Justeru ia tidak lagi menjadi isu berbangkit ke arah muafakat kedua-dua parti yang bakal ditandatangani pada Sabtu ini.

“Kita dapat buat kesimpulan dari apa diberikan kepada kita (penerangan) mereka terdiri daripada ahli Pas, ada (wakil) yang dari cawangan, ada (wakil) dari kawasan, sudah tentu boleh terima.

“Ahli Pas patuh pada parti, itu jelas. Memali peristiwa sudah berlaku, takdir kita sebagai orang Islam kita terima seadanya,” katanya pada sidang media. ketika ditanya keyakinan beliau keluarga waris Memali sudah memaafkan UMNO.

Malah Takiyuddin, situasi terkini jauh berbeza apabila UMNO sudah boleh masuk ke Kampung Memali.

“Kalau sebelum ini UMNO tak boleh masuk tapi selepas ada penerangan sudah boleh,” katanya.

Tambah Takiyuddin, sejak awal tahun ini Pas dan UMNO bekerjasama memberi penerangan kepada penduduk di Kampung Memali selain majlis memperingati para syuhadah tragedi itu yang diadakan setiap tahun.

Takiyuddin menyatakan isu tragedi Memali yang berlaku pada 1985 telah menjadi kecil dengan adanya penyatuan di antara kedua-dua parti

“Peristiwa  itu menjadi kecil apabila adanya penyatuan ummah,” katanya.

Untuk rekod, peristiwa Memali yang berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah, pada 19 November 1985 menyaksikan pertempuran anggota keselamatan dengan penduduk kampung dan pengikut Ibrahim Libya sehingga mengorbankan Ibrahim dan 18 yang lain termasuk empat anggota polis, selain berpuluh-puluh cedera serta beratus-ratus orang ditahan. – MalaysiaGazette