Home Politik Tun Mahathir ingatkan komponen PH jangan angkuh dengan rakyat

Tun Mahathir ingatkan komponen PH jangan angkuh dengan rakyat

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyempurnakan majlis memotong pulut kuning pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ketiga Parti Bersatu di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 SEPTEMBER 2019

SHAH ALAM – Perdana Menteri mengingatkan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) agar tidak angkuh dan sombong menjadi kerajaan kerana dikhuatiri akan menerima nasib sama seperti Barisan Nasional (BN).

Tun Dr. Mahathi Mohamad berkata, PH mesti sentiasa menjaga kebajikan rakyat dengan merencanakan pelbagai pembangunan sosio ekonomi agar rakyat akan terus memberi sokongan kepada mereka sampai bila-bila.

“Kenapa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan DAP berjaya mengalahkan UMNO dan BN, disebabkan rakyat tidak suka dengan cara pemerintahan parti itu.

“Parti kita dah (umur) tiga tahun, masih muda, tak tua.. cuma yang umur 94 ini yang tua. Tapi parti yang muda ini dapat mengalahkan parti yang tertua berusia 61 tahun.

“Kita kalahkan mereka dengan tenaga kita sendiri, dengan (kerjasama) rakan-rakan kita dari PAN, DAP dan PKR termasuk Parti Warisan di Sabah. Kita menang pada PRU14.

“Tapi kena ingat, kemenangan kita ini bukan semata-mata kerana kita kuat, kita menang kerana rakyat tolak parti BN,” katanya berucap pada majlis makan malam sempena ulangtahun ketiga PPBM di Dataran Shah Alam di sini, malam ini.

Sebelum itu, Dr. Mahathir bersama barisan kepimpinan PPBM, wakil PKR dan PAN turut hadir pada majlis bacaan Yaasin dan doa selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menurut Pengerusi PH itu, parti yang mereka kalahkan itu adalah parti yang memerdekakan negara dan walaupun jasanya agak besar, tetapi hakikatnya rakyat sudah tidak suka kerana sikap pemimpinnya yang mementingkan diri.

“Kenapa parti yang dahulunya rakyat suka, kini rakyat tidak suka. Sebab parti itu menyimpang jauh dari perjuangan asalnya. Dan, kekalahan BN itu boleh memberi pengajaran berguna kepada kita.

“Kita boleh belajar dengan melihat apa yang berlaku kepada BN. Kegagalan mereka dan sifat yang ada pada mereka semua itu boleh memberi pengajaran kepada kita.. kalau kita belajar, kita akan selamat.

“Parti gergasi ini (UMNO) kalah kepada rakyat. Apakah yang kita boleh belajar dari parti yang suatu ketika dahulu ini gagah dan pernah menang 13 kali pilihan raya?,” katanya.

Beliau berkata, selepas beberapa bekas perdana menteri silih berganti, pemimpin baharu tidak mengikut perjuangan pimpinan lama.

Pemimpin baharu menggunakan wang yang banyak untuk menyogok rakyat.

“Mereka buat begitu dengan harapan rakyat akan terus memberi sokongan. Tetapi tidak, walaupun ditambah BR1M, dijanjikan kenaikan gaji, akhirnya dengan sikap angkuh mereka, rakyat membuat keputusan menolaknya.

“Kita dapati perjuangan BN ketika itu bukan lagi untuk rakyat, tetapi untuk kekayaan diri mereka. Kalau dahulu mereka bergantung kepada semangat juang dan kemelayuan, kini tidak semangat itu sudah hilang.

“Mereka hanya fikir pasal diri sendiri, bahkan mereka menyertai parti bukan untuk negara dan agama, tetapi untuk diri sendiri,” katanya.

Dr. Mahathir turut mengingatkan parti komponen PH sehingga bila beliau dapat memberi nasihat dan mereka seharusnya sentiasa menjadikan iktibar dengan apa yang berlaku kepada BN.

“Saya nak ingatkan, parti kita baru tiga tahun. Kalau saya tidak beri peringatan, besar kemungkinan kita akan jadi parti yang kalah seperti UMNO.

“Kalau kita lupa perjuangan asal kita, maka kita akan ditolak oleh rakyat. Tak usahlah gun acara BN, kita ada cara kita sendiri.

“Tambahan pula, kita menang bukan kerana kita kuat, tapi disebabkan kelemahan musuh. Kenapa mereka lemah? Sebab mereka lupa perjuangan asal. Mereka lakukan apa yang rakyat tidak suka,” katanya. – MalaysiaGazette