KUALA LUMPUR – Ekoran ciapan yang tidak beradab mempertikaikan pendekatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang aktif di laman Twitter, seorang netizen tampil dengan warkah memohon ampun disebabkan keceluparannya.
Firdaus Asraf yang menggunakan akaun @frdsasrf menerusi warkahnya itu melahirkan rasa kesal kerana berkelakuan biadab dan bersedia mengadap Raja Permaisuri untuk menyampaikan permohonan maaf itu.
“Sesungguhnya patik tidaklah mengharap apa-apa melaunkan pengampunan Raja Permaisuri Agong,” katanya dalam ciapan yang sempat dimuatnaik oleh netizen walaupun akaunnya tidak dibuka kepada umum.
Awal pagi tadi, netizen melahirkan rasa kecewa apabila baginda menutup akaun Twitter Azizah Iskandar@cheminahsayang selepas ciapannya menerima komen negatif dari beberapa netizen.
Tindakan itu telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen dan kebanyakannya merayu supaya Raja Permaisuri mengaktifkan semula akaunnya supaya mereka dapat mengikuti perkembangan semasa beliau dan kaum keluarga. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
Netizen rayu Raja Permaisuri Agong aktif semula akaun Twitter