KUALA LUMPUR – Akibat terlalu percayakan propaganda untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), akhirnya mendatangkan malang buat rakyat dan negara.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, dalam mana-mana belanjawan, ia bergantung kepada pendapatan dan bukan hanya pandai berbelanja.
Katanya, dalam hal pendapatan, pemerintah Pakatan Harapan (PH) telah tersangkut apabila membekukan pungutan GST selama 3 bulan sebelum membatalkannya dan digantikan dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Sudahlah ianya cukai yang kebelakangan. Tapi SST tidak juga mampu untuk menghasilkan pendapatan sebanyak GST.
“Bagi rakyat pula, harga barang tidak pula turun dengan SST. Malah naik juga. Inilah yang buat malang bagi rakyat dan negara apabila pemimpin PH percaya sangat kepada propaganda sendiri. Tambahan, tak faham kewangan dan ekonomi tapi nak urus kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam hantaran melalui Facebook itu, beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru berkata, sudah menjadi satu kebiasaan bagi Kementerian Kewangan mengadakan dialog belanjawan dengan semua pihak berkepentingan sebelum bajet negara dibuat.
Sebenarnya, sudah menjadi satu kebiasaan untuk diadakan dialog belanjawan di antara Kementerian Kewangan dengan semua pihak yang berkepentingan.
Ianya dimulakan sejak Tengku Razaleigh menjadi Menteri Kewangan sehinggalah untuk Belanjawan 2019, belanjawan terakhir Barisan Nasional sebagai pemerintah.
Bagaimanapun, dalam Bajet 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng macam tidak minat meneruskan amalan dialog bajet. sebaliknya memilih untuk mengadakan “focus group” sahaja bagi membincang dan merumuskan cadangan-cadangan bagi Bajet 2020 dengan ada tambahan baharu iaitu perbincangan atas talian. – MalaysiaGazette