KUALA LUMPUR – Penyatuan UMNO dan Pas merupakan satu langkah kedepan dalam usaha mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara induk berteraskan Islam, Melayu dan bumiputera.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, negara ini perlu dikembalikan keasliannya yang menghormati sifat kemajmukan rakyat berbilang kaum dan agama serta tidak menafikan hak-hak mereka.
Katanya, hanya dengan cara itu Malaysia akan dapat digelar kembali sebagai Harimau Asia dan menjadi sebuah negara digeruni dirantau ini.
“Kalau induknya kita kuatkan, terbukti tahun 1999 apabila berlaku tragedi kita lakukan dasar informatif untuk memperkukuhkan ekonomi dan tahap sosial rakyat di negara ini dengan memperkasakan bumiputera tanpa menafikan hak orang India, hak orang Cina.
“Kita basmi kemiskinan tanpa mengira kaum, akhirnya kita menjadi sebuah negara Harimau Asia kerana induknya kita kukuhkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada sesi townhall sempena Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC di sini hari ini.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan, penyatuan ini tidak mungkin akan menjadi seperti DAP yang sememangnya dikenali sebagai sebuah parti rasis membolot segala hak dan keistimewaan terutama terhadap kaum Melayu dan bumiputera.
Katanya, kebersamaan yang dijalinkan oleh Pas dan UMNO adalah kerana ahlinya menyayangi negara kerana tidak sanggup melihat kerosakan dan kemusnahan berlaku.
“Dalam konteks UMNO dan Pas kita bekerjasama bukan sahaja kerana hendak menjatuhkan Pakatan Harapan, kita bersatu kerana ini adalah perintah Allah S.W.T.
“Kalau nak cerita memang ada 1001 perkara kenapa saya marah pada Pas tapi khairil (Ketua Pemuda Pas) pun boleh cerita apa yang dia tak puas hati dengan UMNO. Tetapi itu cerita lama.
“Hari ini bermula dengan 13 hingga 14 September ini untuk kita maju ke hadapan demi Islam, demi negara tercinta. Kita tinggalkan yang keruh kita buang yang lama kita kukuhkan penyatuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette