PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga fokus dalam hala tuju ekonomi berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, fokus tersebut ialah mengurangkan jurang antara negeri kaya dan miskin serta pendapatan rakyat di bandar dan luar bandar.
Beliau menegaskan turut difokuskan adalah jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.
“Kerajaan akan beri tumpuan kepada negeri miskin untuk meningkatkan pendapatan mereka.
“Kerajaan juga perlu memperbanyak program di luar bandar selain jurang golongan miskin dan kaya yang terlalu jauh ketika ini.
“Golongan eksekutif ada yang dapat pendapatan antara RM2 juta hingga RM3 juta setahun manakala jurang dengan pekerja bawah jauh sangat.
“Kita akan tingkatkan pendapatan mereka bukan nak cara menaikkan gaji tetapi meningkatkan keupayaan ke satu tahap dengan memberi latihan.
“Jadi dasar baharu ini bukan hendak menjadi semua rakyat menjadi jutawan namun menaikkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan menteri Kabinet lain.
Mengulas lanjut, Mahathir memberitahu, peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi keutamaan dalam mencapai dasar Wawasan Kemakmuran Bersama.
Jelas beliau, bagi mereka yang kurang kebolehan, latihan akan diberikan dalam memenuhi kehendak pasaran.
“Kertas cadangan ini telah dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan terdapat sedikit bahasan serta dibincangkan tiga jam tadi.
“Kertas ini telah dipersetujui secara prinsip dan akan diserahkan kepada Kabinet untuk disahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mahathir berkata, mesyuarat khas Kabinet yang diadakan pada hari Sabtu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kerajaan pernah mengadakan mesyuarat sama sebelum ini. – MalaysiaGazette