LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yakin penjaga gol, David de Gea akan kekal bersama Red Devils walaupun kontraknya bakal berakhir hujung musim ini.
Dia optimis penjaga gol Sepanyol itu akan menandatangani perjanjian baharu sebelum musim ini bermula, tetapi sehingga kini De Gea masih belum membuat keputusan.
Jika situasi itu berterusan, pemain berusia 28 tahun itu bebas untuk berbincang dengan mana-mana kelab di Eropah pada 1 Januari 2020 dan meninggalkan kelab itu musim depan menerusi perpindahan percuma.
Red Devils dilaporkan menawarkan sekitar £290,000 (RM1.51 juta) seminggu yang menjadikan De Gea antara penerima gaji tertinggi di Old Trafford bersama Paul Pogba.
Namun nilai itu masih jauh berbanding £400,000 (RM2.08 juta) seminggu yang diterima Alexis Sanchez sebelum berpindah ke Inter Milan.
Perbincangan mengenai masa depan De Gea di Old Trafford menemui jalan buntu berikutan prestasi buruk yang ditampilkan pada hujung musim lalu.
Dia turut melakukan kesilapan yang menjadi punca jaringan saat akhir Patrick van Aanholt ketika United tewas 1-2 kepada Crystal Palace, bulan lalu.
Begitupun, De Gea yang merangkul gelaran pemain terbaik United sebanyak empat kali sepanjang lapan tahun di Old Trafford masih menjadi pilihan utama Solskjaer.
De Gea berada dalam skuad United yang memenangi Liga Perdana buat kali terakhir ketika di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson pada 2013. – MalaysiaGazette