Home Nasional Imigresen serbu ladang sayur Cameron Highland, 39 PATI dicekup

Imigresen serbu ladang sayur Cameron Highland, 39 PATI dicekup

Pelbagai pihak setuju dengan cadangan supaya ditubuhkan pasukan sukarelawan menentang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebagai penyelesaian kepada negara menangani isu kontorversi itu.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 39 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Ops Bersepadu yang dilakukan Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tujuh lokasi secara serentak di kawasan Kuala Terla, Cameron Highland Khamis lalu.

Dalam Operasi bermula jam 4.30 petang itu, seramai 24 orang pegawai penguatkuasa Imigresen dari Putrajaya menyerbu kawasan ladang tanaman sayur-sayuran dan bunga yang didominasi pekerja-pekerja warga aisng secara haram.

“Hasil pemeriksaan di kesemua lokasi, seramai 59 orang warganegara asing telah diperiksa dan 39 orang warga asing berjaya ditahan.

“Mengikut pecahan PATI yang ditahan, 17 orang adalah lelaki warga India, 12 warga negara Bangladesh, tujuh lelaki warga Myanmar, dua lelaki Nepal dan seorang wanita warga Myanmmar yang disyaki bekerja tanpa permit yang sah di ladang tersebut.

“Terdapat beberapa cubaan melarikan diri oleh pekerja warga asing di sekitar kawasan serbuan tetapi cubaan pegawai Imigresen kami berjaya mencekup mereka,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau antara kesalahan yang dikenalpasti pihaknya terhadap pekerja asing yang ditahan adalah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurut beliau, kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Selain itu, seramai 6 orang majikan warga tempatan dikenakan notis untuk hadir ke pejabat imigresen memberi keterangan berhubung serbuan dan penahanan PATI di ladang yang diusahakan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette