KUALA LUMPUR – Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini dipenuhi ribuan penyokong UMNO dan Pas yang mahu menyaksikan detik bersejarah menandatangani piagam kerjasama politik kedua-dua parti itu.
Tinjauan MalaysiaGazette sejak dari pukul 7 pagi tadi, ruang legar di seluruh bahagian di dalam bangunan berkenaan dipenuhi dengan lautan penyokong berbaju putih dan menjadi semakin ramai pada pukul 10 pagi sehingga keadaannya melimpah ke luar bangunan.
Walaupun jerebu masih menyelubungi ruang udara, keadaan itu yang melanda seluruh negara ketika ini tidak melemahkan semangat untuk dua penyokong kumpulan parti terbesar itu menghadiri himpunan berkenaan.
Keadaan jalan raya di sekitar juga mula sesak sejak 6.30 pagi berdasarkan maklumat yang diberikan pihak keselamatan.
Selain polis, kawasan sekitar turut dikawal petugas keselamatan UMNO dan Pas, iaitu Jabatan Amal dan Skuad Sabil.
Jentera parti komponen Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera juga turut dikerah bagi mengawal keadaan.
Kerjasama Pas-UMNO bertujuan memperkukuhkan kedududukan orang Melayu dan Islam di samping mengambil kira Malaysia sebagai negara majmuk dan berbilang agama, bangsa dan budaya.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijanghka menandatangani piagam yang menggariskan bentuk dan tatakelola kerjasama itu pada acara kemuncak Himpunan Penyatuan Ummah tengah hari ini. – MalaysiaGazette