KUALA LUMPUR – Sayap Mahasiswa Angkatan Gerakan Minda Malaysia (AGRA) mahu kerajaan menyediakan solusi komprehensif berkaitan nasib pelajar dua universiti yang dikatakan akan bergabung.
Kedua-duanya ialah UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Timbalan Ketua Sayap Mahasiswa AGRA, Muhammad Aiman Sabarudin berkata, selain pelajar nasib kakitangan, tenaga pengajar dan alumni daripada kedua-duanya perlu diambilkira.
“Setelah meneliti rintihan serta aduan yang disampaikan oleh para siswazah kepada pihak Sayap Mahasiswa AGRA, pihak kami merasakan ianya adalah terlalu awal untuk melakukan sebarang bentuk rumusan mengenai isu penggabungan ini.
“Hal ini kerana, Sayap Mahasiswa AGRA berpendapat bahawa isu penggabungan ini masih berada pada tahap perancangan biarpun secara prinsipnya ianya sudah dipersetujui oleh jemaah menteri,” katanya dalam sau kenyataan hari ini.
Selain itu, menurutnya, Sayap Mahasiswa AGRA berpendapat jika dilihat dari aspek pendidikan, penggabungan dua buah universiti ini mampu melahirkan sebuah institusi pendidikan yang lebih hebat serta disegani ramai.
Jika dilihat pada dasar, katanya, penggabungan dua buah universiti ini akan menyebabkan berlakunya penambahan agihan peruntukan dari pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk kegunaan pihak universiti.
Secara tidak langsung, menurutnya, kejayaan itu akan dapat membantu pihak institusi pengajian tinggi ini untuk menawarkan bidang pengajian yang lebih baik selari dengan permintaan pasaran di negara kita.
“Seterusnya, perihal itu akan membantu untuk melonjakan kadar keboleh pasaran para pelajar yang bergelar graduan kepada UniSZA dan juga UMT sejurus selepas mereka menamatkan pengajian,” ujarnya.- MalaysiaGazette